Selasa, 27 Oktober 2020 | 1:00pm
Shahrulezad menghentikan penggambaran drama Takdir Yang Tertulis sehingga pandemik COVID-19 terkawal. Foto IG Shahrulezad
Shahrulezad menghentikan penggambaran drama Takdir Yang Tertulis sehingga pandemik COVID-19 terkawal. Foto IG Shahrulezad

Syarikat produksi akur SOP 'shooting'

KUALA LUMPUR: Menyemak satu persatu amalan norma baharu dalam proses penggambaran drama, filem atau karya kreatif, bukan sedikit yang perlu diberi perhatian syarikat produksi terutama penerbit dan pengarah.

Antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan adalah pemakaian pelitup muka setiap masa, penjarakan fizikal serta larangan berkongsi alat solek serta makanan di set penggambaran.

Tampak mudah andai dilaksana mengikut sistem kerja tersusun, namun, realitinya, banyak syarikat produksi terbeban untuk menyesuaikan diri, apatah lagi rutin ditetapkan didakwa sukar dan mengganggu kelancaran penggambaran.

Tidak hairanlah, sutradara Shahrulezad Mohameddin, misalnya, membuat keputusan menghentikan penggambaran drama arahannya, Takdir Yang Tertulis biarpun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) membenarkan aktiviti penggambaran diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Akui pengarah yang popular dengan drama rantaian Nur itu, walaupun kerja penggambaran dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat, ia menyukarkan kerja produksi.

"Saya tidak bermaksud SOP itu menyusahkan. Amalan ini bagus untuk keselamatan diri dan semua orang. Namun, hakikatnya, ia mengganggu kelancaran kerja berikutan beberapa halangan.

"Contohnya, daripada segi lokasi, MKN tidak membenarkan kami membuat penggambaran di Zon Merah.

"Namun, Zon Merah sekarang sudah bersepah-sepah. Contohnya, di masjid, sekolah, universiti, taman dan banyak lagi.

"Jadi, penggunaan lokasi adalah terhad. Kalau lokasinya di rumah atau kediaman orang, ia bergantung kepada budi bahasa tuan rumah.

"Ini kerana kami bekerja secara berkumpulan dan bersesak-sesak. Sesebuah penggambaran drama perlu memuatkan 25 orang dalam satu masa," katanya.

Sehubungan itu, Shahrulezad nekad menghentikan seketika penggambaran selepas melihat kesukaran pasukan produksi mematuhi SOP ketat.

"Sejauh mana kami menjaga penjarakan sosial dan SOP lain, risiko tetap ada. Apatah lagi membabitkan lokasi di ruang sempit.

"Pada awal penggambaran, SOP boleh dijaga tetapi jika penggambaran sepanjang hari, orang jadi penat hendak mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka.

"Akhirnya nanti, semua orang tidak peduli mengenai SOP kerana sudah penat... Itu yang saya risaukan.

"Kalau tidak patuh SOP, kami pula kena saman. Jadi, kami tersepit," kata penerbit daripada Syarikat Radius One ini.

Tidak hanya itu, norma baharu penggambaran turut menetapkan jumlah penumpang yang boleh menaiki kenderaan pengangkutan pekerja.

"Van pengangkutan tidak boleh memuatkan lebih daripada dua orang dalam satu masa.

"Jadi fikirlah, berapa banyak 'trip' yang perlu kami buat. Tidak dinafikan SOP bagus, namun, ia mula menyusahkan produksi," kata Shahrulezad lagi.

Bagaimanapun, Shahrulezad berharap, penularan COVID-19 berkurangan agar proses penggambaran drama yang sudah berlangsung dua minggu itu dapat disambung segera.

Eoon (kiri) ketika berada di lokasi penggambaran. Foto Ihsan Eoon Shuhaini
Eoon (kiri) ketika berada di lokasi penggambaran. Foto Ihsan Eoon Shuhaini

Sementara itu, sutradara, Eoon Shuhaini yang sedang menjalankan penggambaran drama Rahimah Tanpa Rahim, bersetuju norma baharu dalam penggambaran membantutkan beberapa perkara terutama dalam tempoh PKPB.

"Secara jujur, penguatkuasaan PKPB mengganggu kelancaran dalam aspek lokasi penggambaran.

"Contohnya, kami tidak boleh menjalankan penggambaran di hospital, masjid, sekolah dan sebagainya.

"Jadi semuanya kena menggunakan 'mock-up'," katanya.

Bagaimanapun, demi keselamatan setiap kru dan pelakon, Eoon akur setiap warga produksi perlu akur dengan SOP ketat.

Antara yang dititikberatkan adalah pemakaian pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan penjarakan fizikal.

"Setiap orang di lokasi, tidak kira pengarah, pelakon dan kru, semuanya perlu memakai pelitup muka termasuk jurusolek.

"Saya akan hadkan jumlah kru untuk sesebuah adegan. Contohnya, adegan kematian, kalau mahu diikutkan, kami menggunakan pelakon tambahan seramai 10 orang. Namun, kami kurangkan kepada lima orang.

"Kami juga elak berkumpul di satu tempat. Contohnya, pelakon menunggu di dalam kereta atau van sebelum dipanggil.

"Tiada lagi lepak sementara menunggu adegan masing-masing. Makanan juga dibungkus dan dielak berkongsi," katanya.

Tiada pilihan, kata Eoon, semua orang perlu membiasakan diri dengan norma baharu ini.

"Apatah lagi apabila kes penularan meningkat, kami perlu betul-betul berdisiplin dan mematuhi SOP," katanya.

Eoon berharap penggambaran drama arahannya yang dijadual berakhir pada 8 November depan, dapat dihabiskan mengikut masa ditetapkan.

Pengarah, Shuhaimi Lua mengaku norma baharu penggambaran membuatkan perbelanjaan produksi bertambah.

"Contohnya, dalam aspek seperti penyediaan makanan. Makanan perlu dibungkus untuk setiap orang dan tidak lagi boleh dihidang secara bufet.

"Jujurnya, makanan bungkus lebih mahal dari bufet. Apatah lagi sekarang rata-rata pembekal menaikkan harga. Paling murah kami boleh dapat RM27 bagi sebungkus makanan.

Shuhaimi mengaku kos penggambaran meningkat sejak pelaksanaan SOP di lokasi. Foto Ihsan Shuhaimi Lua
Shuhaimi mengaku kos penggambaran meningkat sejak pelaksanaan SOP di lokasi. Foto Ihsan Shuhaimi Lua

"Jika penggambaran berlangsung sehingga malam, takkanlah makanan hanya sebungkus seorang. Jadi, untuk makanan sahaja, ia mengambil kos yang lebih," katanya.

Tidak hanya itu, pengasas Tanah Beris Film Production menyatakan kekangan lokasi juga memberi kesan kepada kos produksi.

"Sebelum ini, kami terpaksa menjalankan penggambaran di Kuantan, Pahang akibat penggunaan lokasi yang terhad di Lembah Klang.

"Jadi apabila ke Kuantan, kita perlu tambah kos bagi membiayai penginapan dan sebagainya.

"Tapi mahu buat bagaimana, inilah norma baharu yang kita perlu hadapi. Seperti yang dikatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita semua perlu membiasakan diri berhadapan dengan norma baharu," katanya.

Justeru, Suhaimi berkata, setiap kru dan pelakon perlu mematuhi SOP, walaupun ia tampak agak remeh.

"Semua yang terbabit dengan penggambaran perlu diperiksa suhu badan terlebih dulu. Malah, kami juga menggunakan aplikasi My Sejahtera.

"Kami memang menjaga SOP ketika penggambaran. Kami tidak mahu tercetus kluster dalam kalangan produksi. Jika adanya kluster, kami yang susah," katanya.

Andai perkara itu berlaku, tambah Suhaimi, ia akan memberi cabaran kepada kumpulan pekerja bebas atau 'freelance'.

"Kami bukannya pekerja kerajaan yang cuti pun tetap bergaji. Kami bila bekerja baru ada gaji. Kalau cuti, tidak bergajilah kami.

"Inilah punca rezeki kami, kalau tiada kerja, bagaimana nak menanggung kehidupan?" katanya.

Mengikut perancangan, Suhaimi akan menyudahkan penggambaran drama Aku Yang Kau Gelar Isteri, kelmarin. Namun, disebabkan PKPB, kerja mungkin ditunda sehingga bulan depan, bergantung pada keadaan semasa.

Rahila (tengah) akur SOP penting dilaksanakan demi kepentingan semua pihak. Foto Ihsan Rahila Ali
Rahila (tengah) akur SOP penting dilaksanakan demi kepentingan semua pihak. Foto Ihsan Rahila Ali

Sementara itu, pengarah, Rahila Ali berkata, pasukan produksinya tidak keberatan mematuhi SOP biarpun banyak perubahan baharu yang perlu dibuat.

"Saya tidak ada masalah untuk patuh SOP, kerana ia adalah untuk kebaikan kita semua.

"Kita tidak mahu wujud kluster dalam kalangan pekerja produksi. Jadi apa saja yang ditetapkan oleh kerajaan, kami ikut sahaja," katanya.

Bagaimanapun, pengarah filem Aku Bukan Gila itu tidak menafikan ada cabaran terutama dalam aspek lokasi penggambaran.

"Dalam soal tiada sentuhan, kami boleh ikut. Lagipun, tidak risau sangat sebab sekarang kerajaan sudah menetapkan bahawa setiap yang terbabit perlu menjalani ujian swab.

"Tapi cabarannya adalah dari segi untuk mendapatkan lokasi. Dengan SOP yang perlu dipatuhi, kami memerlukan surat, tapi akhirnya tidak boleh masuk disebabkan COVID-19.

"Sekiranya ada penonton yang pertikai, mereka perlu faham kerana kami bekerja mengikut SOP," katanya yang dapat menyelesaikan penggambaran telefilem Denting Cinta sebelum PKPB dikuatkuasakan.

Berita Harian X