Jumaat, 23 Oktober 2020 | 1:00pm
Ahmad berharap kerajaan memberi kelonggaran kepada kru dan pelakon yang perlu merentas sempadan untuk menggunakan surat SPP bagi mendapatkan pelepasan. Foto Ihsan FDAM
Ahmad berharap kerajaan memberi kelonggaran kepada kru dan pelakon yang perlu merentas sempadan untuk menggunakan surat SPP bagi mendapatkan pelepasan. Foto Ihsan FDAM

Kerenah birokrasi jejas 'shooting'

KUALA LUMPUR : Biarpun akur dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak 14 Oktober lalu, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) menerima banyak aduan daripada syarikat produksi yang mendakwa larangan rentas daerah dan negeri menyukarkan kru serta pelakon keluar bekerja.

Berikutan itu, ada syarikat produksi terpaksa menyusun semula jadual penggambaran terutama menukar lokasi 'shooting' ke kawasan di luar Zon Merah dan menangguhkan kerja pembikinan drama, yang pastinya menyebabkan kos projek meningkat.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai 'Mat London' berkata, kru dan pelakon perlu meminta kebenaran polis jika mahu merentas daerah dengan mengemukakan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta mendapat pengesahan persatuan.

"Larangan rentas daerah menyukarkan kru produksi dan pelakon. Mereka tinggal di merata-rata tempat dan ada antara mereka terpaksa merentas daerah.

"Jadi, agak menyukarkan apabila setiap kali ingin keluar dari daerah kediaman, mereka terpaksa memohon surat kebenaran di balai polis.

"Biarpun dibekalkan dengan SPP FINAS yang disahkan FDAM, ada kalanya dokumen itu tidak 'dipandang'.

Ahmad ketika membuat pemeriksaan di lokasi penggambaran. Foto Ihsan FDAM
Ahmad ketika membuat pemeriksaan di lokasi penggambaran. Foto Ihsan FDAM

"Sebaliknya, kru dan pelakon masih perlu memohon surat pelepasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jika tidak, mereka tidak boleh keluar bekerja," katanya kepada BH Online.

Ahmad berkata, FDAM mendapat maklumat ada antara syarikat produksi terpaksa menangguhkan penggambaran berikutan lokasi 'shooting' dikategorikan dalam Zon Merah.

"Ada juga syarikat produksi memilih menangguhkan penggambaran hingga akhir bulan ini bagi menunggu keputusan kerajaan sama ada PKPB diteruskan atau tidak," katanya.

Ahmad berkata, ada syarikat produksi menangguhkan penggambaran kerana khuatir malah paranoid dengan kemungkinan tercetusnya kluster baharu jika prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi.

"Demi keselamatan dan kesihatan kru serta pelakon, ada syarikat produksi menangguhkan penggambaran kerana penerbit bimbang tercetusnya kluster industri seni.

"Biarpun hasil tinjauan persatuan mendapati rata-rata syarikat produksi mematuhi SOP, namun, masih ada yang paranoid.

"Jadi, mereka membuat keputusan menangguhkan penggambaran demi keselamatan semua pihak," katanya.

Ahmad berkata, peraturan mengkehendaki kru dan pelakon mendapatkan kebenaran polis untuk keluar daerah dianggap membebankan mereka.

"Kru dan pelakon terpaksa melalui pelbagai prosedur dan kerenah birokrasi. Sehubungan itu, FDAM memohon warga seni diberi kelonggaran untuk keluar bekerja," katanya.

Ahmad mencadangkan agar PDRM menerima SPP dikemukakan sebagai kelulusan merentas daerah.

"Jika hanya mengemukakan SPP, anak seni boleh keluar bekerja tanpa gangguan pihak berkuasa," katanya.

Ahmad sering berpesan kepada kru dan pelakon agar meletakkan SPP di tempat yang mudah dilihat seperti di bahagian simpanan dalam kereta bagi memudahkan pihak berkuasa membuat semakan.

"Langkah itu dapat menjimatkan masa pihak berkuasa yang membuat pemeriksaan selain mengelak kesesakan lalu lintas.

"Ada kalanya, anggota penguat kuasa sangat bertolak ansur dan ada juga yang tegas dalam menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.

Ahmad mengakui bukan mudah mendapatkan SPP apatah lagi ketika kerajaan menguat kuasakan PKPB.

"Urusan mendapatkan SPP perlu dilakukan di pejabat FINAS yang hanya beroperasi setengah hari.

"Jadi, ada yang terpaksa datang awal pagi dari jauh seperti Melaka dan Klang semata-mata mahu mendapatkan SPP.

"Jadi, saya berharap pihak berkuasa boleh memberi kelonggaran kerana proses untuk mendapatkan SPP bukanlah mudah," katanya.

Mengulas mengenai pemantauan SOP di lokasi penggambaran, Ahmad berkata, FDAM membuat pemeriksaan dari masa ke semasa.

"Kita juga sentiasa menghubungi syarikat produksi untuk mengingatkan mereka mengenai SOP yang perlu dipatuhi," katanya.

Selain itu, Ahmad berkata, FDAM juga mempunyai 'mata-mata' yang akan memerhati dan menyalurkan maklumat jika mendapati ada antara syarikat produksi ingkar SOP.

Berita Harian X