Selasa, 20 Oktober 2020 | 8:00pm
Sharnaaz mendakwa pernah menghubungi SPRM ketika isu siasatan pengubahan wang haram dan perjudian dalam talian hangat diperkatakan. Foto IG Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz mendakwa pernah menghubungi SPRM ketika isu siasatan pengubahan wang haram dan perjudian dalam talian hangat diperkatakan. Foto IG Sharnaaz Ahmad

Sharnaaz sedia beri kerjasama kepada SPRM

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad sedia memberi kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian .

Bagaimanapun, Sharnaaz atau nama sebenar, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 35, memberitahu, setakat ini, dia belum menerima arahan mana-mana pihak, biarpun ada yang mendakwa dirinya menjadi antara selebriti yang dikatakan bakal dipanggil SPRM.

Sharnaaz sedia memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian, sekiranya dipanggil. Foto IG Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz sedia memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian, sekiranya dipanggil. Foto IG Sharnaaz Ahmad

"Setakat ini, belum ada sesiapa dari SPRM yang menghubungi saya. Lagipun, kalau mereka hendak panggil, ia tidak akan beritahu lebih awal.

"Tahu-tahu sahaja sudah berada di sana. Bagaimanapun, sama ada dipanggil atau tidak, saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkenaan," katanya kepada BH Online.

Sharnaaz mengaku ketika isu itu dibangkitkan, dia pernah menghubungi SPRM untuk memberi keterangan.

"Cuma saya tidak boleh hendak kongsi maklum balas SPRM berhubung penjelasan saya itu kerana ia sulit dan peribadi," katanya.

Ditanya apakah isu itu memberi impak negatif kepada perniagaan kedai minuman yang diusahakannya, pelakon filem Jebat ini berkata, kesannya lebih kepada jenama.

"Alhamdulillah, perniagaan saya seperti biasa dan tiada apa-apa yang berlaku. Cuma daripada segi jenama, ia agak terjejas. Bagi saya, kita tak perlu takut kalau kita tidak salah. Kita hanya berada pada masa dan tempat yang silap.

"Hendak kata buat salah, tiada siapapun yang buat salah.

"Kita tak boleh menghakimi orang. Walaupun dia pakai baju warna oren, selagi mahkamah tak jatuhkan hukum, kita tak boleh kata mereka itu bersalah. Mereka hanya dipanggil untuk disoal siasat sahaja," katanya.

Terdahulu, Harian Metro Online melaporkan dua artis terkenal yang terbabit dalam bidang lakonan dan pengacaraan, antara beberapa artis dijangka dipanggil ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan selepas tiada selebriti tampil secara sukarela.

Menurut sumber Harian Metro Online, dua individu terbabit menjalankan perniagaan dan mempunyai lebih sejuta pengikut di laman sosial.

Berita Harian X