Rabu, 14 Oktober 2020 | 8:54pm
FINAS memperkenalkan Insentif Saringan Prihatin membolehkan syarikat produksi membuat tuntutan caj ujian swab ke atas pelakon dan kru. - Foto hiasan
FINAS memperkenalkan Insentif Saringan Prihatin membolehkan syarikat produksi membuat tuntutan caj ujian swab ke atas pelakon dan kru. - Foto hiasan

FINAS tanggung kos ujian saringan COVID-19

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperkenalkan Insentif Saringan Prihatin membolehkan syarikat produksi membuat tuntutan caj ujian saringan ke atas pelakon dan kru yang menjalani penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid, berkata FINAS mahu menggalakkan semua syarikat produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh PKPB melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap pelakon dan kru atas faktor keselamatan serta kesihatan mereka.

"Kita mahu kesihatan dan keselamatan kru dan pelakon di lokasi penggambaran di bawah zon PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya terjamin selain mengekang penularan wabak COVID-19," katanya kepada BH Online.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid. - NSTP/Rohanis Shukri
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid. - NSTP/Rohanis Shukri

Zakaria berkata, Insentif Saringan Prihatin yang diperkenalkan FINAS bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat seperti syarikat produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran dalam tempoh PKPB iaitu mulai hari ini hingga 27 Oktober 2020 depan.

"Kos ujian saringan ke atas kru dan artis hendaklah ditanggung terlebih dahulu syarikat produksi dan perlu mengemukakan dokumen tuntutan kepada FINAS.

"Selain itu, insentif ini hanya kepada syarikat produksi yang berdaftar di bawah FINAS sahaja," katanya.

Zakaria berkata, kadar maksimum bagi tuntutan insentif ini adalah sebanyak RM5,000 bagi setiap syarikat produksi.

"Ujian saringan hanya hanya boleh dilakukan melalui pakej khas FINAS di klinik panel berdaftar iaitu Megaklinik Zahran, Bandar Baru Bangi.

"Pihak Megaklinik Zahran juga boleh menjalankan ujian saringan di lokasi penggambaran yang dipersetujui," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X