Rabu, 7 Oktober 2020 | 8:54pm
ABPBH 33 akan dilancarkan secara maya, Jumaat ini, pada jam 9 malam. Foto NSTP
ABPBH 33 akan dilancarkan secara maya, Jumaat ini, pada jam 9 malam. Foto NSTP

ABPBH 33 patuhi SOP

KUALA LUMPUR: Acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-33, yang bakal dilancarkan secara maya, Jumaat ini, dianjurkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Pengarang Kumpulan BH yang juga Penaung ABPBH 33, Saidon Idris, berkata tema ABPBH 33 iaitu #ABPBHKITA2020 dipilih bagi menggambarkan situasi yang sedang dialami rakyat Malaysia dengan pengamalan norma baharu dalam kehidupan.

"Kini kitalah yang menjadi petugas barisan hadapan untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Mira Filzah dan Syafiq Kyle bersama trofi kemenangan yang diraih pada ABPBH 32, tahun lalu. Foto NSTP/Rosela Ismail
Mira Filzah dan Syafiq Kyle bersama trofi kemenangan yang diraih pada ABPBH 32, tahun lalu. Foto NSTP/Rosela Ismail

"BH sebagai penganjur dan semua pihak yang terbabit dalam penganjuran ABPBH 33 memainkan peranan yang sangat penting untuk 'kita jaga diri kita'," katanya.

Saidon berkata, ABPBH sentiasa menyelitkan mesej berguna dalam tema diangkat.

"Kami di BH akan memastikan legasi acara anugerah ini terus terpelihara serta lebih gemilang setiap tahun walau dalam apa situasi yang dihadapi," katanya.

Turut diumumkan, syarikat elektronik multinasional China, Xiaomi sebagai penganjur utama ABPBH 33. Xiaomi ditubuhkan pada April 2010 dan beribu pejabat di Beijing.

Mira Filzah diangkat sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 32 dan membolot trofi dalam tiga kategori lain, tahun lalu. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Mira Filzah diangkat sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 32 dan membolot trofi dalam tiga kategori lain, tahun lalu. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Xiaomi melabur dalam pengeluaran telefon pintar, aplikasi mudah alih, komputer riba, perkakas rumah, beg, kasut, barangan elektronik pengguna dan produk lain.

Mulai hari ini, ABPBH 33 membuka pengundian dalam 13 kategori utama dan empat kategori online. Peminat boleh melayari www.abpbh.com.my dan memilih artis kesayangan daripada 20 calon dalam setiap kategori, sehingga tarikh tutup 8 November depan.

ABPBH 33 menetapkan tempoh sebulan untuk peminat mengundi artis pilihan dengan pemenang bakal diumumkan pada malam kemuncak acara anugerah berprestij ini, November depan.

Sementara itu, Ketua Integrasi, Komersial dan Multimedia, The New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata ABPBH sentiasa berusaha melakukan penyesuaian dan penambahbaikan secara menyeluruh sesuai dengan keadaan semasa.

"Penambahbaikan membabitkan pakej tajaan, kandungan, mekanik penganjuran, pencalonan, pengundian sehinggalah aktiviti bersama artis serta kelab peminat yang dilakukan secara virtual.

"Ini bagi memastikan penganjuran anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan ini kekal relevan," katanya.

"Pada masa yang sama, kita turut menekankan aspek keselamatan dan berdasarkan SOP yang ditetapkan, acara kemuncak ABPBH pada tahun ini akan diadakan pada skala yang lebih kecil berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Tambahnya, semua aktiviti, promosi dan publisiti ABPBH 33 juga dijalankan dengan mengoptimumkan pergantungan dan penggunaan platform digital termasuk sosial media.

Majlis pelancaran ABPBH 33 dan sidang media secara maya akan disiarkan secara langsung melalui FB BH dan akaun YouTube BH mulai jam 9 malam, Jumaat ini.

Berita Harian X