Selasa, 6 Oktober 2020 | 6:05pm
Datuk Awie sedang belajar dan mendalami dunia penerbitan menerusi syarikat Rumah Produksi Merah. - Foto IG Datuk Awie
Datuk Awie sedang belajar dan mendalami dunia penerbitan menerusi syarikat Rumah Produksi Merah. - Foto IG Datuk Awie

Dunia baru Awie

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie kini lebih giat bergerak di belakang tabir sebagai penerbit menerusi syarikat penerbitan, Rumah Produksi Merah yang diusahakan sejak hampir setahun.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, dia kini sedang belajar dan mendalami dunia penerbitan.

"Sampai bila saya nak menyanyi dan pelakon? Sementara ada kebolehan, kelebihan dan dengan keizinan Allah, saya boleh kongsi rezeki bersama dengan rakan lain.

"Saya memberikan rakan pula tawaran berlakon. Saya juga buka peluang kepada rakan yang boleh menulis, mengarah dan sebagainya. Contohnya, saya memberi peluang pada Khir Rahman untuk menghasilkan sebuah naskhah untuk Rumah Produksi Merah," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Awie berkata, dia mahu mengelak daripada membintangi naskhah terbitan produksi sendiri.

"Jika boleh, saya tak mahu berlakon dalam naskhah terbitan sendiri. Saya mahu fokus duduk di belakang tabir sahaja. Takkan kita terbit, mengarah dan berlakon. Saya tak mahu sebegitu, berilah peluang pada orang lain," katanya.

Tambah Awie lagi, buat masa sekarang, dia hanya menghasilkan naskhah seperti supertele, drama dan travelog.

"Saya tak mahu menghasilkan filem kerana saya tak berani nak buat. Siapa berani duduk dalam panggung, kalau dengan fizikal sosial sekali pun. Bagaimana, nak kutip keuntungan dengan jumlah penonton yang sedikit ketika pandemik COVID-19 ini?

"Kita mengeluarkan jutaan ringgit, jadi dengan situasi sekarang ini, berapa nak dapat pulangan sekiranya kita ditayangkan juga filem?

"Seeloknya, platform Astro First yang ada digunakan. Jangan berlebihan dalam menggunakan bajet, buat perkiraan dalam menghasilkan naskhah selaras dengan anggaran dengan pulangan yang diperoleh," katanya.

Awie berkata, dia tidak menafikan berhasrat meneruskan kelangsungan kisah Hantu Kak Limah, tetapi dengan keadaan sekarang, enggan mengambil risiko menghasilkan filem.

Datuk Awie bersama Search akan berkongsi pentas menerusi Konsert Cinta Buatan Malaysia pada 12 Disember depan. - Foto IG Datuk Awie
Datuk Awie bersama Search akan berkongsi pentas menerusi Konsert Cinta Buatan Malaysia pada 12 Disember depan. - Foto IG Datuk Awie

Dalam perkembangan lain, Awie bersama anggota Search iaitu Nasir selaku pemain bass, Kid (gitar) dan Din (gitar) bakal bersatu dalam Konsert Cinta Buatan Malaysia Search dan Awie yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada 12 Disember depan.

Konsert yang pada awalnya diberi nama Konsert Apologia itu sepatutnya diadakan pada 28 Mac lalu di The Bee, Publika tetapi ditunda ekoran pandemik COVID-19.

"Saya adalah pembeli kaset ketika pengeluaran album Cinta Buatan Malaysia. Saya tahu lagu yang menghidupkan nyawa Search, jadi saya nak menyanyikan kembali lagu seperti Kejora, Cinta Sepi, Isi dan Kulit serta Cinta Buatan Malaysia.

"Ia adalah lagu yang orang dengar hingga hari ini. Rugi jika tidak menyanyikan lagu ini. Seperti Din dan Kid juga menyuarakan keinginan untuk menyampaikan lagu berkenaan," katanya.

Selain itu, Awie bakal mempersembahkan lebih 15 lagu-lagu popular Search seperti Kejora, Cinta Sepi, Isi dan Kulit, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Nur Nilam Sari dan banyak lagi.

Berita Harian X