Sabtu, 3 Oktober 2020 | 11:00am
Wani berdebar menanti reaksi peminat terhadap singla baharu, Aksara Cinta. Foto IG Wani Kayrie
Wani berdebar menanti reaksi peminat terhadap singla baharu, Aksara Cinta. Foto IG Wani Kayrie

Wani sudah serik

KUALA LUMPUR: Kali pertama dihambat kontroversi hingga menjejaskan nama baik dan imej bersih membuatkan penyanyi, Wani Kayrie serik memuat naik entri yang dikatakan menyentuh sensitiviti golongan tertentu.

Enggan pisang berbuah dua kali, Wani lebih berhati-hati dalam berkongsi rutin dan perkembangan harian dalam laman sosial.

Wani atau nama sebenar, Syazwani Abdullah, 20, mengaku kontroversi klip video TikTok yang memaparkan dirinya yang disolek hitam menari, dikecam netizen, memberi pengajaran besar buat dirinya.

"Biarpun insiden itu terjadi Jun lalu, ia memberi kesan sehingga sekarang. Sejak peristiwa itu saya menapis kandungan yang mahu dimuat naik.

"Secara jujurnya, kejadian itu memberi impak kepada emosi saya. Puncanya ketika perkara itu berlaku, saya masih terikat dengan penggambaran drama Dayang Senandung.

"Disebabkan terlalu terkesan, saya meminta pengurus membatalkan penggambaran itu atau maksudnya, saya mahu menarik diri.

"Mana tidaknya, video itu tersebar luas sehingga ke luar negara. Saya sangat sedih apabila mendapat tahu individu yang menyebarkan video itu adalah orang kita.

Wani lebih berhati-hati sebelum memuat naik entri di laman sosial selepas kontroversi Dayang Senandung. Foto IG Wani Kayrie
Wani lebih berhati-hati sebelum memuat naik entri di laman sosial selepas kontroversi Dayang Senandung. Foto IG Wani Kayrie

"Padahal mereka tahu Dayang Senandung adalah cerita rakyat," katanya kepada BH Online.

Kontroversi bertambah hangat apabila ketika video itu dikongsi Wani, kes pembunuhan lelaki kulit hitam dikenali sebagai George Floyd di Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan sebagai mangsa perkauman, heboh diperkatakan.

Rentetan itu, video TikTok Wani terkait sama hingga dikecam penonton di luar negara.

Risau dengan impak kontroversi itu, pelajar jurusan undang-undang dan perdagangan di Management & Science University (MSU), Shah Alam, ini menjauhi laman sosial buat sementara waktu.

Malah, demi menjaga keselamatan diri, Wani membuat laporan polis.

"Saya mendiamkan diri dari laman sosial lebih seminggu. Kejadian itu membuatkan saya takut hendak keluar rumah biarpun pergi ke universiti kerana diperli pelajar lain.

"Lebih menyedihkan, ada yang meminta pihak universiti membatalkan biasiswa dan menyingkirkan saya. Disebabkan perkara itu, kami membuat laporan polis demi keselamatan," katanya.

Wani bersyukur tidak lama selepas itu, kontroversi Dayang Senandung mulai senyap.

"Alhamdulillah, lama-lama senyap. Apabila saya membaca Twitter, ramai yang faham keadaan saya. Diharapkan perkara ini tidak berlanjutan sehingga memberi kesan kepada tayangan drama Dayang Senandung, akhir tahun ini," katanya.

Kali pertama melakonkan watak utama, Wani memberitahu, penggambaran drama terbabit bermula awal tahun ini.

"Penggambaran terhenti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika saya memuat naik video pada awal tahun, tiada yang kecam.

"Jadi, saya belajar untuk mengambil tahu isu semasa agar peka dengan apa yang terjadi," katanya pada sesi fotografi bagi mempromosikan lagu terbaru, Aksara Cinta di Balai Berita, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut mengenai lagu ciptaan komposer muda, Hael Husaini dan Ezra Kong itu, Wani berkata, dendangan itu dianggap single segar yang mengetengahkan kekuatan vokal.

"Sebelum ini, saya lebih terarah kepada lagu bergenre pop. Melalui Aksara Cinta, saya tampil berbeza apabila lebih mengetengahkan keupayaan vokal.

"Disebabkan itu, saya memilih Hael dan Ezra. Mereka boleh ubah genre yang sinonim dengan saya iaitu daripada genre pop kepada sesuatu yang lebih segar.

"Alhamdulillah, mereka berjaya. Boleh dikatakan saya jatuh cinta dengan lagu ini. Ditambah lagi dengan lirik lagu ini yang puitis. Ini membuatkan saya yakin saya dapat pergi jauh dengan lagu Aksara Cinta," katanya.

Bagaimanapun, Wani agak gementar untuk menerima maklum balas peminat kerana kali pertama video muzik yang dilancarkan tidak ada gerak tari.

"Bukan itu sahaja, lagu ini saya dapat daripada komposer hebat. Pada awalnya, saya takut tidak dapat membawa lagu ini dengan baik. Apatah lagi, apabila kali pertama dengar, Aksara Cinta agak susah didendangkan.

"Apatah lagi, ini kerjasama pertama saya bersama Hael dan Ezra, lagilah saya gugup. Tetapi, apabila saya menjiwai, ia senang dibawa. Jadi, sebelum menyampaikan lagu, kita perlu hayati terlebih dulu," katanya.

Tambah Wani, dia senang bekerjasama denga Hael dan Ezra dan mereka hanya menjalani sesi rakaman di studio sebanyak dua kali.

Aksara Cinta dan video muziknya dilancarkan, kelmarin. Kali terakhir Wani tampil dengan single adalah tahun lalu, menerusi lagu Magika.

Sementara itu, bertanya mengenai perkembangan hubungan bersama penyanyi, Afieq Shazwan, Wani masih memberi jawapan sama, iaitu mereka sekadar kenalan.

"Kami hanyalah kawan. Kami tidak fikir untuk serius kerana masing-masing sedang belajar dan berusaha untuk menguatkan nama dalam industri.

"Saya tidak mahu terikat dalam hubungan sebab ia menuntut komitmen yang tinggi. Jadi, biarlah saya fokus kepada pelajaran berikutan pengajian saya agak berat," katanya yang sudah berkawan dengan Afieq sejak kecil lagi.

Wani dan Afieq mula berkenalan ketika Wani menyertai program Bintang Kecil terbitan RTM, manakala Afieq pula menjadi pengacara di stesen televisyen (TV) itu.

Berita Harian X