Rabu, 23 September 2020 | 7:30pm
Noraniza Idris menyertai GV7 bukan mahu mengejar nama semula, sebaliknya mencari pengalaman. - Foto IG Noraniza Idris
Noraniza Idris menyertai GV7 bukan mahu mengejar nama semula, sebaliknya mencari pengalaman. - Foto IG Noraniza Idris

Jaga pakaian, tak terkinja-kinja

KUALA LUMPUR: Pakaian tak boleh keterlaluan dan dilarang terkinja-kinja di atas pentas, itu menjadi syarat yang ditetapkan suami penyanyi, Noraniza Idris sebelum mengizinkannya menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang bakal bersiaran pada 11 Oktober depan.

Noraniza berkata, restu suami yang juga bilal majid, Jeffri Hudi amat diperlukan sebelum memutuskan untuk menyertai program realiti berkenaan.

"Keputusan untuk bersetuju menyertai GV7 dibuat pada saat akhir memandangkan saya perlu mendapat keizinan suami terlebih dahulu.

"Sebelum memberi kebenaran, suami buat solat sunat dan bertanyakan beberapa soalan kepada syarikat pengurusan, Mind Order yang menjadi wakil Astro untuk melamar saya menyertai program GV7.

"Selepas berpuas dengan jawapan yang diberikan, barulah suami beri keizinan. Itupun ada syarat yang perlu dipatuhi seperti jaga cara berpakaian dan tidak terlalu terkinja-kinja atas pentas. Maklum sahajalah, suami saya seorang bilal.

"Anak juga berpesan perkara yang sama. Segala pesanan akan saya ingat demi menjaga nama baik keluarga dan anggota keluarga lain. Tak mahu nanti ada sesiapa yang terasa hati," ujar penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia kepada BH Online.

Suami, Jeffri Hudi membuat solat sunat dan bertanyakan beberapa soalan kepada syarikat pengurusan, Mind Order sebelum merestui pembabitan Noraniza Idris dalam GV7. - Foto IG Noraniza Idris
Suami, Jeffri Hudi membuat solat sunat dan bertanyakan beberapa soalan kepada syarikat pengurusan, Mind Order sebelum merestui pembabitan Noraniza Idris dalam GV7. - Foto IG Noraniza Idris

Selepas namanya diumumkan sebagai salah seorang peserta, ramai yang mempersoalkan keputusan anak jati Kluang, Johor itu menyertai program GV7 kerana didakwa tidak sesuai dengannya yang sudah bertaraf legenda.

"Apa yang dilakukan demi masa depan muzik Irama Malaysia. Saya lebih melihat kepada peluang yang diperoleh selepas menyertai program ini. Saya, seorang penggemar muzik irama tradisional yang tegar.

"Sebelum ini, saya agak sukar membawa irama ini ke depan. Justeru, apabila orang melihat saya di pentas berkenaan, dapatlah juga menarik irama ini untuk bersama saya. Bukan mudah menyertai pertandingan kerana banyak tekanan yang bakal dihadapi, tetapi saya bersedia untuk kembali belajar.

"Saya tak pernah belajar vokal sepanjang lebih tiga dekad dalam bidang nyanyian. Untuk program GV7, pihak pengurusan menyediakan seorang guru untuk melatih saya. Jujurnya, saya tak yakin mahu menyertainya jika berseorangan," katanya.

Ditanya apakah sudah bersedia dikritik termasuk dihakimi juri tidak bertauliah seperti netizen, Noraniza berkata, dia hanya melayan komen yang bersifat positif dan membina sahaja.

"Saya sudah dinasihatkan pihak pengurusan supaya tidak membaca komen negatif yang ditulis netizen. Mereka tak benarkan saya membaca langsung komen sedemikian kecuali bersifat positif.

"Saya mempunyai perasaan yang sangat rapuh dan mudah tersentuh jika emosi saya dipancing dengan kata kurang enak. Sebelum mengganggu fokus saya untuk bertanding, saya tidak akan melayannya.

"Jika dikritik juri profesional, saya tak kisah kerana mereka tahu apa yang mereka katakan. Nak kata saya menyanyi tak bagus pun saya boleh terima kerana ia bersesuaian dengan pentas ini. Cuma janganlah komen yang keterlaluan," pinta penyanyi yang pernah popular dengan lagu Mengemis Rindu ini.

Berita Harian X