Rabu, 23 September 2020 | 1:00pm
Ketika perniagaan yang diusahakan semakin maju, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah mahu berkongsi rezeki dan menyumbang sesuatu yang bermanfaat. - Foto IG Siti Sarah
Ketika perniagaan yang diusahakan semakin maju, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah mahu berkongsi rezeki dan menyumbang sesuatu yang bermanfaat. - Foto IG Siti Sarah

Shuib, Sarah kejar saham akhirat

KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Shuib Sepahtu dan isterinya, Siti Sarah Raissuddin berhasrat membina masjid dan menghantar mereka yang tidak berkemampuan menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah untuk mengejar saham akhirat.

Ketika perniagaan, Bubble Bee Malaysia yang diusahakan semakin maju, Shuib dan Sarah mahu berkongsi rezeki dan menyumbang sesuatu yang bermanfaat.

"Saya dan Sarah pernah terfikir mahu membina masjid dan menghantar mereka yang tidak berkemampuan mengerjakan umrah. Saya percaya dalam rezeki kita, ada juga bahagian orang lain.

"Saya bersemangat apabila ada pasangan selebriti yang membina masjid hasil keuntungan perniagaan mereka.

"Bagaimanapun, hati saya terdetik membina masjid sebelum mereka lagi. Saat dikurniakan rezeki, jangan kedekut untuk berkongsi," katanya kepada BH Online.

Shuib Sepahtu dan isteri, Siti Sarah bersama tiga cahaya mata. Foto IG Siti Sarah
Shuib Sepahtu dan isteri, Siti Sarah bersama tiga cahaya mata. Foto IG Siti Sarah

Mengulas dirinya dan Sarah dilihat antara pasangan romantis dikalangan selebriti, Shuib berkata, ia sesuatu yang subjektif.

"Soal bahagia sukar untuk diperjelaskan. Ada pasangan bergaduh manja atau cakap merepek sudah dikira romantik.

Saya dan Sarah pula bahagia dengan cara tersendiri. Saya suka menyakat isteri," katanya.

Shuib berkata, dia mempunyai alasan kukuh menghadiahkan jam tangan berharga kepada isterinya, baru-baru ini.

"Sarah tak suka pakai aksesori ketika awal perkahwinan dahulu. Saya pernah paksa Sarah pakai gelang emas. Sekarang, saya menghadiahkan jam supaya boleh mengatur masa dengan baik.

"Ditambah pula, Sarah cemerlang dalam perniagaan kecantikannya. Ikutkan syarikat perniagaannya hampir gulung tikar, tahun ini. Tetapi, saya berjaya meyakinkannya untuk bangkit. Alhamdulillah, Sarah berjaya membuktikan kemampuannya.

"Sebagai ahli perniagaan, hadiah jam tangan sebagai bukti status diri yang serius dalam dunia perniagaan. Sebelum dapat jam tangan, saya sudah menghadiahkan tas tangan," katanya.

Berita Harian X