Isnin, 21 September 2020 | 1:00pm
Suami Fiza, Aizat menjual sambal bagi mencari pendapatan sampingan selepas jadual penerbangan tidak sesibuk dahulu. Foto Ihsan Fiza Halim
Suami Fiza, Aizat menjual sambal bagi mencari pendapatan sampingan selepas jadual penerbangan tidak sesibuk dahulu. Foto Ihsan Fiza Halim

Cari alternatif jana pendapatan

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada banyak sektor ekonomi dan pekerjaan.

Antara industri paling terkesan adalah pelancongan dan semestinya sektor penerbangan apabila kebanyakan negara di seluruh dunia menutup pintu kemasukan pelawat asing.

Berdepan cabaran tersendiri, syarikat penerbangan rata-rata menyusun semula operasi apabila jadual perkhidmatan berkurangan dan tidak lagi seaktif dahulu.

Inisiatif ini pasti memberi kesan langsung kepada sumber tenaga baik mereka yang bekerja dalam bahagian pentadbiran dan pengurusan, kru kabin mahupun juruterbang.

Seperti orang lain, artis yang memiliki pasangan bekerja dalam sektor penerbangan seperti juruterbang, perlu bijak menyusun strategi memastikan keperluan hidup tidak terjejas terutama daripada segi ekonomi.

BH Online berpeluang menemuramah pelakon Farah Nabilah dan Fiza Halim yang masing-masing mempunyai suami bekerja sebagai juruterbang.

Farah memberitahu, suaminya, Mohammed Amirul Yunus masih bekerja dan mengendalikan penerbangan domestik dan antarabangsa.

"Cuma pandemik COVID-19 menyebabkan tugasan berkurangan. Jadi, banyak masa dia boleh habiskan bersama saya yang sedang hamil lapan bulan ini," katanya.

Pelakon drama Titian Cinta ini mengaku tersentak apabila banyak sektor pekerjaan terpaksa mengambil langkah drastik memberhentikan pekerja kesan daripada penularan COVID-19.

"Ada yang perlu mencari inisiatif lain untuk meneruskan hidup. Ini adalah perkara yang tidak pernah kita jangka berlaku dan mengubah 180 darjah kehidupan," katanya.

Bagi Fiza Halim, suaminya, Aizat Al Jefri yang juga juruterbang, menceburi bidang perniagaan dengan menjual sambal bagi mencari pendapatan sampingan.

Farah dan suaminya, Mohammed Amirul Yunus. Foto IG Farah Nabilah
Farah dan suaminya, Mohammed Amirul Yunus. Foto IG Farah Nabilah

"Walaupun masih bertugas sebagai juruterbang, dia ambil inisiatif dengan berniaga. Lagipun jadual penerbangan tidak sekerap dahulu.

"Jika ada panggilan tugas, suami akan pergi bekerja," katanya sambil menambah suaminya sudah hampir 10 tahun bertugas di awan biru.

Berita Harian X