Selasa, 15 September 2020 | 1:00pm
Zakaria (dua dari kanan) dan barisan Ahli FINAS berpuas hati dengan pencapaian 100 hari memulakan tugas dengan perbadanan itu. Foto Ihsan FINAS
Zakaria (dua dari kanan) dan barisan Ahli FINAS berpuas hati dengan pencapaian 100 hari memulakan tugas dengan perbadanan itu. Foto Ihsan FINAS

Ahli FINAS tepati sasaran 100 hari

KUALA LUMPUR: Projek Perumahan Komuniti Seni Prihatin dan program akreditasi dikendalikan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) menjadi antara pencapaian terbaik ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selepas 100 hari menggalas tanggungjawab.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata dua projek terbabit mendahului sasaran awal apabila dilaksanakan tahun ini, bukan pada 2021 seperti dijangka.

"Berdasarkan kejayaan diraih selepas 100 hari ahli FINAS menggalas tanggungjawab itu, jumlah peratusan dicapai adalah melebihi 200 peratus.

"Ada program yang kita jangka dilaksanakan tahun depan, dapat dijayakan dalam tempoh tiga bulan iaitu sejak kami dilantik pada Mei lalu.

"Sebagai contoh, projek Perumahan Komuniti Seni Prihatin dapat diselesaikan dalam tempoh singkat walaupun usaha itu sudah dilaksanakan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sejak dua tahun lalu.

"Kita sangka hanya dapat diselesaikan tahun depan, namun dengan bantuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, permohonan dipercepatkan.

"Satu lagi usaha FINAS yang kami sifatkan di luar jangkaan adalah program membantu penggiat seni mendapatkan akreditasi daripada badan profesional.

Zakaria berjanji terus memperkasakan jenama FINAS terutama dalam soal kebajikan. Foto Ihsan FINAS
Zakaria berjanji terus memperkasakan jenama FINAS terutama dalam soal kebajikan. Foto Ihsan FINAS

"Akreditasi itu amat penting bukan saja bagi mengiktiraf kepakaran dan pengalaman penggiat seni, malah bagi memastikan kualiti perfileman negara dapat dipertingkatkan selain melindungi industri tempatan," katanya pada sidang media Pencapaian 100 Hari Ahli Perbadanan FINAS di Petaling Jaya, semalam.

Turut hadir, Ahmad Idham; Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Norman Abdul Halim dan ahli FINAS lain.

Mengulas pencapaian yang disifatkan luar biasa itu, Zakaria berkata, semuanya tidak akan berlaku tanpa rasa tanggungjawab dan komitmen tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan ahli FINAS.

"Sepanjang tiga bulan dilantik, kami berdepan cabaran besar iaitu penularan wabak COVID-19 yang mengakibatkan banyak aktiviti seni tergendala, lalu industri perfileman dan sinema terjejas.

"Tetapi itulah hikmahnya kerana ia menjadi pemangkin buat semua ahli perbadanan dan pengurusan untuk menggandakan usaha sehingga ada yang berjaga tengah malam bagi memastikan semua permasalahan membabitkan industri serta penggiatnya dapat diselesaikan.

"Kejayaan ini tidak akan berlaku tanpa sokongan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga sangat komited dalam membantu FINAS.

"Apabila kita memohon sesuatu, tidak kira daripada segi nasihat atau pemberian dana, beliau memberi kerjasama penuh," katanya.

Zakaria berjanji terus memperkasakan jenama FINAS terutama dalam soal kebajikan.

"Saya baru menerima panggilan daripada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr K Santhara yang berminat menjalinkan kerjasama dengan FINAS untuk projek perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kita juga akan terus bekerjasama dengan KPKT iaitu untuk permohonan rumah kos rendah dan rumah PR1MA untuk warga seni yang berkemampuan.

"Semua projek kebajikan ini akan dikendalikan Datuk Seri Eizlan Yusof yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS," katanya.

Berita Harian X