Khamis, 10 September 2020 | 9:26pm
Zuraida menyerahkan surat tawaran mendiami PPR kepada pelakon veteran Tawil sambil diperhatikan Saifuddin (kiri), Zakaria dan Ahmad Idham. Foto Ihsan FINAS
Zuraida menyerahkan surat tawaran mendiami PPR kepada pelakon veteran Tawil sambil diperhatikan Saifuddin (kiri), Zakaria dan Ahmad Idham. Foto Ihsan FINAS

25 penggiat seni dapat PPR

PETALING JAYA: Dua puluh lima penggiat seni menerima surat tawaran menyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Daripada jumlah itu, seramai 19 penerima ditawarkan kediaman di PPR Sri Aman Kuala Lumpur dengan baki enam penerima lagi ditempatkan di PPR Lembah Subang 2.

Majlis penyampaian surat tawaran disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di PPR Lembah Subang 2, di sini, petang tadi.

Delimawati menerima surat tawaran daripada Zuraida pada program Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin FINAS serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, semalam. Foto Ihsan FINAS
Delimawati menerima surat tawaran daripada Zuraida pada program Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin FINAS serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, semalam. Foto Ihsan FINAS

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Antara penggiat seni yang menerima surat tawaran adalah Tawil, Delimawati Ismail, Alina Hassan, Halimah Alias, Wan Nor Azlin Wan Mohd Hussin, Nor Albaniah Raffie, Ayati Ahmad Tasrip, Badrul Muhayat, Zaleha Sidek, Aizom Othman, Rusilawati Hassan dan Mahmud Ali Basha.

Kumpulan kedua penerima unit PPR membabitkan 25 penerima, akan diumumkan, tidak lama lagi.

Zuraida berkata, inisiatif perumahan untuk golongan seni dicetuskan Ahmad Idham yang datang bertemu dengannya membincangkan perkara itu, dua tahun lalu.

"Ini adalah salah satu usaha kementerian dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta FINAS bagi membantu artis veteran.

"Usaha ini sebenarnya tidak terhad kepada artis. Kementerian akan cuba membantu semua lapisan masyarakat yang memerlukan seperti anggota bomba, polis, tentera dan sesiapa saja yang berkelayakan," katanya.

Kediaman berkeluasan 650 kaki persegi itu memiliki tiga bilik dan dua bilik air. Ia turut dilengkapi kemudahan asas seperti katil, sofa, dapur gas, meja makan dan almari tajaan beberapa badan korporat.

Berita Harian X