Khamis, 10 September 2020 | 3:00pm
Daler mengabadikan kenangan bersama arwah nenek ketika hayatnya. Foto IG Daler Yusuf
Daler mengabadikan kenangan bersama arwah nenek ketika hayatnya. Foto IG Daler Yusuf

Ayah, nenek Daler pergi akibat COVID-19

KUALA LUMPUR: Hilang dua ahli keluarga terdekat akibat wabak COVID-19 dalam tempoh kurang sebulan, cukup memeritkan buat pelakon berasal dari Uzbekistan, Daler Yusuf.

Tidak dapat menatap dua wajah insan kesayangan iaitu ayah dan nenek buat kali terakhir, apatah lagi mengusung mereka ke pusara dan memeluk anggota keluarga yang lain, membuatkan hati Daler bagai disiat pilu.

Bagai mahu terbang sahaja ke Uzbekistan, namun, apa daya, akibat penutupan pintu sempadan dan larangan penerbangan akibat COVID-19, hasrat itu terkubur.

Sekalipun dibenarkan pulang ke negara asal atas alasan kematian anggota keluarga, Daler perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dan mengulangi proses sama sekembalinya ke Malaysia.

Berkongsi kesedihan, Daler yang sudah 10 tahun merantau ke Malaysia untuk menyambung pelajaran dan mencari rezeki dalam dunia seni memberitahu, nenek kesayangan, Muhammdiyeva Shodi, 76, meninggal dunia, bulan lalu, disusuli bapa, Dusmat Hamroyev, 54, akibat COVID-19, Khamis lalu.

Kali terakhir, Daler menatap wajah dua insan tersayang itu, Februari lalu. Ketika itu, katanya, dia sempat menghabiskan masa hampir sebulan di kampung halaman di mana ketika itu, ayah dan nenek, sihat.

Justeru, tatkala menerima berita pemergian nenek yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri pada 7 Ogos lalu, Daler sangat terkejut. Tambah menyedihkan, akibat pemergian nenek, hubungan dengan ibu saudara menjadi dingin.

Berkongsi cerita, Daler berkata, nenek sebelum ini menetap di bandar bersama dua sepupu. Namun, nenek membuat keputusan untuk pulang ke kampung kerana rindukan suasana desa.

Daler berkata, neneknya dipercayai dijangkiti COVID-19 ketika berada di kampung. Daler mengesyaki kegagalan anggota keluarga termasuk sepupu dan saudara-mara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan masuk dan keluar rumah sesuka hati, menjadi punca jangkitan wabak itu.

"Arwah nenek sebelum ini tinggal di bandar bersama dua sepupu, jadi risiko untuk dijangkiti mungkin tipis.

"Tetapi apabila pulang ke kampung, ramai sepupu dan saudara-mara yang keluar masuk rumah sesuka hati dan tidak dipantau. Barangkali merekalah yang menjadi punca nenek saya dijangkiti. Mereka masih muda, jadi antibodi masih kuat untuk melawan wabak berkenaan.

"Sedangkan nenek sudah berusia 76 tahun dan menghidap penyakit jantung. Maka, peluang untuk pulih agak payah.

"Perkara inilah yang menyebabkan saya bergaduh dengan ibu saudara. Mereka tidak memantau siapa yang keluar masuk rumah.

Daler terkilan tidak dapat menatap wajah arwah ayah buat kali terakhir. Foto IG Daler Yusuf
Daler terkilan tidak dapat menatap wajah arwah ayah buat kali terakhir. Foto IG Daler Yusuf

"Namun, saya perlu menerima semua ini sebagai ketentuan takdir. Tidak guna menuding jari kepada sesiapa kerana perkara sudah terjadi," katanya kepada BH Online.

Membuatkan hatinya bertambah terkilan, bapanya mengikut jejak langkah nenek kurang sebulan selepas kematiannya.

Menurut Daler, dia tidak menjangka bapanya akan pergi secepat itu. Walaupun tahu bapanya menghidap kencing manis, namun, dengan semangat arwah yang kuat, dia merasakan bapanya boleh hidup lama.

"Apabila dimaklumkan bapa dan abang dijangkiti COVID-19, saya tidak begitu risau seperti ketika nenek disahkan dijangkiti wabak itu.

"Saya yakin bapa boleh hidup lama. Malah, ketika mula-mula dimasukkan ke hospital, saya sempat berbual dengan bapa di telefon.

"Bapa memang tidak menunjukkan dirinya lemah. Menurut adik perempuan, bapa saya pergi secara mengejut.

"Tiga kali jantung bapa terhenti, selepas itu dia terus pergi buat selama-lamanya sehingga tidak sempat meninggalkan wasiat. Abang pula sudah pun dibenarkan keluar dari hospital," katanya.

Daler tidak menyangka dalam sekelip mata, dia kehilangan dua insan tersayang.

"Saya ada dua adik yang masih kecil iaitu berusia 13 dan 14 tahun. Jadi, saya berharap bapa dapat hidup lama.

"Mereka adalah zuriat daripada perkahwinan kedua bapa selepas ibu meninggal dunia. Tetapi, selepas ini, saya perlu menjalankan tanggungjawab buat dua adik yang masih kecil," katanya.

Daler berkata, pemergian nenek dan bapa menyebabkan dia tidak boleh berada di suatu tempat dalam tempoh yang lama. Katanya, setiap kali teringatkan pesanan dan nasihat yang sering dititip arwah nenek dan bapa, dia menjadi sayu.

Air matanya juga gagal dibendung kerana terlalu sedih tidak dapat berada di sisi mereka di saat akhir.

"Saya terkilan tidak dapat memohon maaf daripada nenek dan bapa seandainya pernah menyakiti hati mereka.

"Sekarang ini, apa saja yang saya lakukan, pasti saya akan teringat kepada mereka. Lebih-lebih lagi apabila teringat nasihat yang mereka sering titipkan, saya bertambah sedih.

"Hati saya berdebar apabila bercakap mengenai arwah nenek dan bapa.

"Walaupun saya cuba pujuk hati, kononnya mereka masih ada, ternyata saya tidak boleh menipu diri sendiri," katanya.

Daler mengingatkan semua orang agar tidak mengambil mudah wabak COVID-19.

"Janganlah ambil mudah wabak ini terutama jika kita ada orang tua di rumah yang ada sejarah penyakit. Tolonglah ikut SOP yang disarankan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X