Selasa, 25 Ogos 2020 | 8:30am
Amy mengumumkan berundur daripada kumpulan Search, Mac lalu. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Amy mengumumkan berundur daripada kumpulan Search, Mac lalu. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Tiada pengganti Amy - Search

KUALA LUMPUR: Pengunduran Amy sebagai vokalis kumpulan rock legenda, Search, Mac lalu, tidak mematahkan semangat band itu untuk meneruskan perjuangan dunia seni.

Benar, mereka hilang tonggak yang memainkan peranan utama, namun, tidak bermakna Search perlu terus meratap pemergian Amy yang cukup sinonim dengan band itu sejak empat dekad lalu.

Mengulas perkara itu, pemain bes, Nasir Daud, berkata biarpun sehingga hari ini mereka masih belum mempunyai pengganti Amy, namun, itu tidak bermakna mereka perlu menoktahkan muzik yang sudah lama diperjuangkan.

"Search masih bernyawa biarpun Amy sudah tidak lagi bersama. Saya bersyukur kerana peminat masih terus memberi sokongan walau dalam keadaan apa sekali pun.

Search menggunakan khidmat Awie (tengah) sebagai penyanyi undangan dalam mana-mana persembahan yang bakal dijayakan. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Search menggunakan khidmat Awie (tengah) sebagai penyanyi undangan dalam mana-mana persembahan yang bakal dijayakan. Foto NSTP/Rohanis Shukri

"Sokongan diberi menjadi pembakar semangat untuk terus memperjuangkan muzik Search," katanya kepada BH Online.

Ditanya apakah mereka mahu mencari vokalis baharu, Nasir mengaku perkara itu bukan menjadi agenda Search.

"Malah, tidak ada sesiapa yang mampu menjadi pengganti Amy walaupun kami menerima banyak nama yang dicadangkan menjadi vokalis.

"Selain faktor keserasian, untuk menjadi anggota kumpulan Search, kami bukan sahaja mementingkan kesihatan fizikal, sebaliknya melihat individu terbabit bukan daripada kalangan bermasalah.

"Justeru, saya, Din dan Kid sepakat memutuskan untuk tidak mencari penyanyi baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Amy," katanya.

Ditanya apakah ada komunikasi antara kumpulan terbabit dengan Amy selepas pengundurannya, Nasir menyatakan perkara itu senyap begitu sahaja.

"Situasinya sama seperti dahulu. Macam biasa, memang tiada sebarang komunikasi antara Search dan Amy. Tidak mengapa, kami sudah biasa.

"Kami tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan hidup perlu diteruskan," katanya.

Nasir bersyukur peminat tidak pernah melihat pengunduran Amy memberi impak kepada masa depan Search.

"Bagi kami, Search bangkit sebagai sebuah jenama dan kejayaannya tidak hanya terletak kepada individu semata-mata," katanya.

Walaupun tidak mempunyai penyanyi, namun, tidak bermakna aktiviti kumpulan yang popular dengan lagu Fantasia Bulan Madu dan Isabella ini, terhenti.

Menurut Nasir, mereka tetap menggunakan khidmat Datuk Awie sebagai penyanyi undangan dalam mana-mana persembahan yang bakal dijayakan.

"Jujurnya, sejak kami mengumumkan bakal bekerjasama dalam Konsert Apologia Search & Awie sebelum ini, ramai yang suka dengan pakej ini.

"Walaupun konsert itu terpaksa ditangguhkan berikutan wabak COVID-19, namun, saya sudah dihujani tawaran yang mahu melihat gandingan ini dalam sebuah persembahan.

"Setakat ini, ada lima penganjur yang saya temui termasuk seorang dari Sabah berminat untuk mementaskan konsert kami.

"Biar apapun, semuanya kena tunggu pengumuman rasmi dari kerajaan mengenai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan.

"Apabila sudah ada keputusan rasmi, barulah gerak kerja akan diteruskan," katanya.

Mengenai Konset Apologia Search & Awie yang ditangguhkan sebelum ini, Nasir berkata, semuanya bergantung kepada keputusan kerajaan berhubung PKPP.

"Apa yang boleh saya beritahu, penganjur memilih lokasi yang lebih besar iaitu Stadium Malawati Shah Alam," katanya.

Barangkali pasti ada yang tertanya-tanya apa reaksi kumpulan Wings jika Serch terus menggunakan khidmat Awie sebagai penyanyi yang mengiringi persembahan mereka.

Soalnya, apakah jalan penyelesaian jika ada pertembungan persembahan antara dua band popular terbabit.

Menjawab persoalan itu, Nasir menjelaskan, Wings sudah memberi lampu hijau berhubung perkara itu.

"Saya sudah bertemu dengan kumpulan Wings untuk bertanya mengenai perkara itu. Mereka tidak ada masalah mengenainya. Cuma dalam hal ini, kami perlu lebih berkompromi dengan jadual Awie sebagai artis solo.

"Kami faham dengan komitmennya. Jadi, sebelum menerima sebarang tawaran, kami perlu berbincang dengan Awie. Kami sudah bersetuju dengan kaedah itu," katanya.

Sepanjang pelaksanaan PKP, tidak dinafikan pendapatan artis terutama penyanyi terjejas berikutan tiada tawaran persembahan.

Situasi sama turut dirasai kumpulan yang ditubuhkan pada 1981 itu.

"Sama seperti penyanyi lain, Search tidak terkecuali. Walaupun agak tertekan, kami masih boleh meneruskan kehidupan dengan membuat kerja sampingan.

"Kid menggunakan laman YouTube untuk menjana pendapatan sampingan. Saya mengusahakan perniagaan barangan koleksi eksklusif seperti baju dan gelas di bawah jenama Rockfather yang dijual atas talian.

"Selain itu, Search sangat beruntung kerana ada peminat yang sanggup menerbitkan kembali album kami dalam format piring hitam atau 'vinyl' di bawah label Pawana Music.

"Label itulah yang menerbitkan album terakhir Search berjudul Katharsis yang dihasilkan tiga tahun lalu.

"Jadi, sedikit sebanyak, usaha itu dapat juga membantu Search daripada aspek kewangan," katanya.

Berita Harian X