Jumaat, 21 Ogos 2020 | 8:30am
Nasib bintang drama radio veteran, Supama Perumal yang pernah menjayakan lebih 1,500 naskhah drama radio mendapat pembelaan. - Foto FINAS
Nasib bintang drama radio veteran, Supama Perumal yang pernah menjayakan lebih 1,500 naskhah drama radio mendapat pembelaan. - Foto FINAS

Hidup sebatang kara, kediaman uzur

KUALA LUMPUR: Tidak hanya prihatin dan menghulurkan sumbangan kepada warga seni berbangsa Melayu, sebaliknya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut mengambil berat kebajikan anak seni berbilang kaum menerusi program Ziarah Kasih FINAS Prihatin.

Usaha dapat dilihat menerusi inisiatif membantu bintang drama radio veteran berbangsa India, Supama Perumal, baru-baru ini.

Ia susulan kunjungan Penaung Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia, Datin Norlin Shamsul Bahri bersama Puspanita Cawangan FINAS menziarahi Supama pada 29 Julai lalu.

Menerusi kunjungan itu, kediaman bintang drama radio berusia 71 tahun itu didapati berada dalam keadaan uzur, tidak teratur dan bumbung bocor.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof dengan rakan strategi, Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cdert Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengadakan gotong-royong membersihkan rumah dan memasang bumbung baharu pada 19 Ogos lalu.

Norlin (dua dari kanan) bersama Eizlan dan Jameah ketika menziarahi Supama Perumal di kediamannya Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Cheras, Kuala Lumpur. - Foto FINAS
Norlin (dua dari kanan) bersama Eizlan dan Jameah ketika menziarahi Supama Perumal di kediamannya Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Cheras, Kuala Lumpur. - Foto FINAS

Eizlan berkata, program Ziarah Kasih FINAS Prihatin adalah inisiatif dicetuskan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan warga seni.

"Terdahulu, menerusi program program Ziarah Kasih FINAS Prihatin, beliau turun padang menziarah warga seni seperti Allahyarham Abu Bakar Juah, Mimi Loma dan Fauziah Nawi.

"Ekoran sibuk dengan urusan negara dan Parlimen, inisiatif diteruskan isterinya, Norlin bersama Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid serta Pengerusi Puspanita FINAS, Jameah Abdul Aziz.

"Program ini digerakkan Jawatankuasa Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, iaitu kami bersama rakan strategik seperti GISBH, MAPIM serta APM," katanya kepada BH Online.

Supama adalah artis veteran yang mula berlakon pada 1965 dan kemudian melebarkan sayap nyanyian pada 1980. Sepanjang pembabitannya, Supama pernah menjayakan sekitar 60 naskhah teater dan lebih 1500 naskhah drama radio.

Beliau berkahwin dengan S Subramaniam, namun suaminya meninggal dunia pada 27 September 1999. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, seorang lelaki dan perempuan.

Anak lelakinya baru saja meninggal dunia pada 21 Oktober tahun lalu akibat serangan jantung, manakala anak perempuannya terputus hubungan. Beliau kini tinggal sebatang kara di Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Ikan Emas, Cheras, Kuala Lumpur.

Program Ziarah Kasih FINAS Prihatin membantu bintang drama radio veteran, Supama Perumal dengan mengadakan gotong-royong membersihkan rumah dan memasang bumbung bocor. - Foto FINAS
Program Ziarah Kasih FINAS Prihatin membantu bintang drama radio veteran, Supama Perumal dengan mengadakan gotong-royong membersihkan rumah dan memasang bumbung bocor. - Foto FINAS

Sebelum pandemik COVID-19, Supama bekerja di Malaysia Nanban Paper di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, namun diberhentikan kerja tanpa sebab, notis, surat dan gaji pada 9 Julai lalu.

Selepas menerima maklumat, Eizlan berkata, Norlin menyatakan hasrat mahu membantu dan menziarahi Supama.

"Kami menyambut baik hasrat isteri menteri bertemu Supama. Penderitaan Supama akhirnya mendapat perhatian sewajarnya, malah kami sedih melihat kediamannya.

"Rumahnya dalam keadaan tidak teratur, mungkin baru kehilangan anak dan tinggal seorang diri. Bersimpati dengan keadaannya, kami bekerjasama menggantikan bumbung, mengemas dan membersihkan rumahnya.

"Alhamdulillah, pasukan kami bertungkus lumus menyempurnakan aktiviti kebajikan ini," katanya.

Selain Supama, program Ziarah Kasih FINAS Prihatin turut mengunjungi pelakon berbangsa Cina, Margaret Gan.

Bagi Eizlan, program itu inisiatif yang sangat positif apabila bantuan tidak hanya tertumpu pada satu kaum saja, malah penggiat seni kaum lain turut diberikan perhatian.

Semalam, Saifuddin dalam muat naik laman Instagramnya mengucapkan tahniah atas usaha Puspanita dan FINAS

dengan kerjasama GISBH, MAPIM serta APM mengadakan gotong-royong serta memasang bumbung kediaman Supama yang uzur.

Berita Harian X