Ahad, 16 Ogos 2020 | 5:00pm

Genggaman tangan terakhir

KUALA LUMPUR: Allahyarham Abu Bakar Juah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang, petang semalam.

Pelakon filem Matinya Seorang Patriot yang dilaporkan tenat sejak minggu lalu meninggal dunia akibat kanser hati di kediamannya di Alam Damai Cheras, jam 6.35 petang semalam.

Anak keduanya, Zarith Abu Bakar, 37, bersyukur bapanya pergi dengan tenang, biarpun dalam keadaan koma.

Bagaimanapun, ibu kepada seorang cahaya mata itu tidak dapat berkongsi detik terakhir bersama arwah bapa.

"Alhamdulillah, emak, adik-beradik dan sanak saudara dapat berkumpul pada saat akhir arwah sebelum meninggal dunia. Hanya suami saya tak dapat pulang berikutan bekerja di Kemboja.

"Namun, arwah abah pergi dalam keadaan tenang. Kami reda dengan pemergiannya. Suhu badan naik dan berada dalam keadaan koma dua hari sebelum menutup mata. Kami hanya mampu menggenggam tangannya sebelum dia pergi buat selama-lamanya.

"Arwah juga mengalirkan air mata memberi maksud dia tahu kami berada di sisinya," katanya kepada BH Online.

Allahyarham Abu Bakar Juah berada dalam keadaan koma, mengalirkan air mata sebelum menutup mata. - Foto IG Abu Bakar Juah
Allahyarham Abu Bakar Juah berada dalam keadaan koma, mengalirkan air mata sebelum menutup mata. - Foto IG Abu Bakar Juah

Ekoran itu, Zarith berkata, dia dan adik beradiknya berada di sisi arwah sepanjang berhadapan dengan kesakitannya.

"Saya bersyukur arwah sudah menunaikan ibadah haji, jadi tiada niatnya yang tergendala lagi. Kami adik beradik bergilir-gilir menjaganya.

"Sudah ketentuan takdir, adik bongsu, Benjemin Nor tidak bekerja disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, dia banyak berkorban membantu Mama menjaga arwah. Tetapi, adik beradik lain tetap mengambil giliran menjaga arwah di hospital dan rumah," katanya yang ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, pagi tadi.

Ketika diminta berkongsi pengalaman menjaga arwah, Benjemin menolak dengan baik. Usaha mahu menemubual isteri arwah, Rusidah Mohd Yassin juga tidak berjaya dilakukan kerana masih lagi bersedih.

Arwah mendirikan rumah tangga dengan Rusidah sejak 1980 dan dikurniakan empat cahaya mata, Danial Nor, 39, Zarith, 37, Safinas, 32, dan Benjemin Nor, 28, selain seorang cucu berusia tiga tahun.

Allahyarham Abu Bakar, 72, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Alam Damai pada jam 6.35 petang semalam akibat kanser hati. Jenazahnya selamat dikebumikan jam 9.50 pagi tadi.

Sebelum ini, Abu Bakar disahkan penghidap kanser usus pada 2016. Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan bekas Pengarah Kanan Penjara Taiping, Perak itu bebas cengkaman kanser.

Kemudian, bapa kepada empat cahaya mata itu mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit yang dihadapi kembali menyerang, malah lebih agresif hingga sudah merebak ke hati. Arwah dilaporkan tenat, sejak minggu lalu.

Anak Allahyarham, Zarith (kanan), Safinas (tengah) dan Benjemin pada majlis pengebumian arwah bapanya, Allahyarham Abu Bakar Juah. - NSTP/Asyraf Hamzah
Anak Allahyarham, Zarith (kanan), Safinas (tengah) dan Benjemin pada majlis pengebumian arwah bapanya, Allahyarham Abu Bakar Juah. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X