Jumaat, 14 Ogos 2020 | 2:29pm
Foto promosi single baharu yang dirakam Selena dan Blackpink bakal menemui peminat pada 28 Ogos ini. Foto IG Selena Gomez
Foto promosi single baharu yang dirakam Selena dan Blackpink bakal menemui peminat pada 28 Ogos ini. Foto IG Selena Gomez

Blackpink duet dengan Selena Gomez pula

KUALA LUMPUR: Spekulasi peminat terhadap projek besar Selena Gomez bersama kumpulan K-pop tersohor, Blackpink berakhir apabila penyanyi popular itu mengesahkan kerjasama mereka di akaun Instagram (IG).

Menerusi perkongsiannya, Selena yang popular dengan lagu Love You Like A Love Song itu melahirkan rasa teruja kerana lagu yang masih dirahsiakan judulnya, bakal menemui peminat pada 28 Ogos ini.

Selepas bekerjasama dengan Lady Gaga, Blackpink meneruskan projek kolaborasi dengan Selena. Foto IG Blackpink
Selepas bekerjasama dengan Lady Gaga, Blackpink meneruskan projek kolaborasi dengan Selena. Foto IG Blackpink

"Sangat teruja untuk mengumumkan @Blackpink dan saya ada lagu baharu yang akan muncul pada 28 Ogos ini," kongsinya dalam entri berkenaan.

Penjelasan itu mengiringi foto promosi yang memaparkan namanya dan Blackpink yang popular dengan lagu How You Like That, bakal menggegarkan dunia muzik dengan single duet.

Entri itu mendapat lebih empat juta tanda suka dengan lebih 140,000 komen. Rata-rata peminat kedua-dua artis itu gembira dan tidak sabar untuk menyaksikan kolaborasi yang diramal hebat itu.

Terdahulu, pihak pengurusan kumpulan yang dianggotai empat gadis itu, YG Entertainment memberi bayangan Blackpink bakal bekerjasama dengan seorang penyanyi yang dirahsiakan identitinya.

Sebelum ini, Blackpink pernah bekerjasama dengan Lady Gaga menerusi lagu Sour Candy.

Berita Harian X