Sabtu, 8 Ogos 2020 | 1:00pm
Hubungan Noor Nabila bersama bekas suami, Sharnaaz Ahmad kembali jernih demi anak, Jebat Jayden pada Aidilfitri lalu. - Foto IG Sharnaaz Ahmad
Hubungan Noor Nabila bersama bekas suami, Sharnaaz Ahmad kembali jernih demi anak, Jebat Jayden pada Aidilfitri lalu. - Foto IG Sharnaaz Ahmad

Noor Nabila enggan ulangi kesilapan

KUALA LUMPUR: Bekas isteri aktor, Sharnaaz Ahmad iaitu Noor Nabila Mohd Noor lega apabila proses perceraian yang mengambil masa hampir setahun berjaya diselesaikan dengan baik.

Kakak kepada selebriti popular, Neelofa itu berkata, dia kini mahu memberikan tumpuan pada diri sendiri dan membesarkan cahaya matanya, Jebat Jayden berusia dua tahun.

"Selepas sah bercerai pada 9 Julai lalu, bermulalah fasa baharu saya sebagai ibu tunggal. Saya merasakan proses perceraian terlalu lama, jadi apabila berjaya diselesaikan, rasa sangat lega, Alhamdulillah.

"Proses perceraian mengambil masa hampir setahun, ia bukan mudah. Saya masih memegang status isteri, tetapi tidak duduk sebumbung dengan suami, jadi keluar pun tidak mendapat keizinan, tentunya tidak manis.

"Sekarang bermulalah kehidupan baharu, saya mahu menyayangi diri sendiri terlebih dahulu. Dalam perkahwinan, saya selalu meletakkan diri di belakang, jadi sekarang saya utamakan kebahagiaan diri," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Nabila berkata, hubungannya dengan Sharnaaz tetap baik, malah bekas suaminya kerap datang ke rumah untuk berjumpa Jebat.

"Saya bersyukur apabila Sharnaaz meluangkan masa untuk bertemu anak setiap hari. Sebab ada pasangan yang bercerai langsung tak kisah soal anak.

"Bagaimanapun, Sharnaaz bukan begitu. Dia tetap meluangkan masa bersama Jebat walaupun sibuk dengan jadual lakonan. Dalam sehari dalam sempat dua atau tiga kali jenguk anak. Alhamdulillah, Jebat mempunyai bapa yang sangat mengambil berat.

"Dalam masa yang sama, saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Sharnaaz. Dia boleh datang berjumpa Jebat pada bila-bila masa. Saya sedar kerjaya sebagai pelakon menyebabkannya tidak mempunyai masa fleksibel. Saya faham dan tak menetapkan hari untuk Sharnaaz datang," katanya.

Bekas isteri Sharnaaz, Noor Nabila lega apabila proses perceraian yang mengambil masa hampir setahun berjaya diselesaikan dengan baik. - Foto IG Noor Nabila
Bekas isteri Sharnaaz, Noor Nabila lega apabila proses perceraian yang mengambil masa hampir setahun berjaya diselesaikan dengan baik. - Foto IG Noor Nabila

Nabila berkata, dia mahu Jebat mendapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya.

Mengulas perkara yang dipelajari sepanjang perkahwinan, Nabila berkata, setiap perkahwinan memerlukan pasangan suami isteri yang saling berusaha.

"Dalam perkahwinan memerlukan pasangan suami isteri yang mahukan perkahwinan berkekalan. Usaha pun kena daripada kedua-dua pihak. Jika satu pihak berusaha lebih, tetapi pihak satu lagi rasa berkuasa, tidak boleh.

"Sememangnya dalam Islam sudah menetapkan tempat suami dan isteri di mana, tetapi dalam perkahwinan kita perlu berusaha bersama," katanya.

Bagaimanapun, Nabila berkata, dia tidaklah serik mahu berumah tangga dan terbuka berkahwin lagi sekiranya ada jodoh. Tetapi, buat masa ini, fokusnya pada Jebat.

Nabila berkata, dia banyak berkongsi nasihat bersama Neelofa kerana tidak mahu adiknya mengulangi kesilapannya.

"Saya berkongsi banyak perkara dengan Neelofa. Saya juga sentiasa berpesan jangan ulangi kesilapan yang pernah saya lakukan. Sebagai wanita bekerjaya dan berduit, tak senang melalui perkahwinan.

"Apabila bekerjaya dan berduit, cara menguruskan perkahwinan sudah jadi lain. Contohnya, kita tak boleh buat sesuatu sesuka hati kerana bimbang suami akan terasa.

"Kita tak boleh bertindak tanpa berfikir sebab setiap apa yang dilakukan memberi kesan pada suami. Walaupun mampu, suami tetap perlu diutamakan. Kena jaga hati suami," katanya.

Nabila dan Sharnaaz sah bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Berita Harian X