Rabu, 29 Julai 2020 | 9:55am

PELAKSANA agih bantuan

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperuntukkan RM40 juta bagi membantu menggerakkan industri kreatif yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Bantuan itu disalurkan melalui inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang menjadi sebahagian daripada program Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri (PELAKSANA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yakin bantuan itu bakal memperkasakan semula industri kreatif dalam tempoh enam bulan akan datang seperti disasarkan.

"Sepanjang tiga atau empat bulan kebelakangan ini, akibat penularan COVID-19, ada beberapa keadaan terjadi. Antaranya, ada syarikat filem terpaksa menghentikan penggambaran.

"Selepas itu, mereka harus memulakan aktiviti berkenaan dan memerlukan sedikit suntikan dana.

"Situasi kedua pula, ada sesetengah syarikat, langsung tiada aktiviti penggambaran. Apabila situasi ini berlaku dalam tempoh yang agak lama, tentunya mereka berdepan masalah kos operasi termasuk membayar gaji pekerja.

"Wang simpanan pun mungkin sudah habis digunakan. Untuk memulakan kembali, bukannya mudah. Golongan ini juga harus diberi bantuan.

Saifuddin (tiga dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara stesen TV di ibu negara, semalam. - NSTP/Asyraf Hamzah
Saifuddin (tiga dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara stesen TV di ibu negara, semalam. - NSTP/Asyraf Hamzah

"Dalam tempoh enam bulan ini, matlamat kita adalah industri perfileman akan bangkit semula," katanya pada sidang media selepas melancarkan PELAKSANA di ibu negara, semalam.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Syed Hussian Syed Junid, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris.

Pada majlis itu, memorandum persefahaman membabitkan tiga stesen televisyen (TV) turut ditandatangani.

MBP diwakili Pengarah Urusan, Datuk Iskandar Mizal Mahmood; Astro diwakili Pengarah Kandungan, Agnes Rozario manakala TV Alhijrah diwakili Namanzee.

Sementara itu, Zakaria berkata, FINAS sudah mengenal pasti 23 syarikat produksi yang layak diberi bantuan.

"Dua minggu lalu, kita sudah buat serahan surat tawaran kepada 23 syarikat produksi membabitkan dana sebanyak RM7.8 juta. Ini adalah adalah langkah awal dan difahamkan ada yang sudah memulakan kerja penggambaran.

"Ini memberi petanda industri perfileman sudah semakin rancak dan secara tidak langsung, dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada petugas di belakang tabir," katanya.

Sementara itu, mengulas mekanisme pengagihan bantuan, Ahmad Idham memberitahu, FINAS mendapat kerjasama daripada stesen TV untuk menguruskannya.

"Kita mahu bantuan ini diagih secara menyeluruh membabitkan pelbagai program seperti telefilem, drama bersiri, majalah dan program hiburan.

"Kita akan berbincang dengan stesen TV dan terpulang pada mereka untuk menentukan slot yang diperlukan mengikut keperluan stesen terbabit.

Saifuddin menetapkan matlamat industri perfileman akan bangkit semula dengan dana disalurkan PELAKSANA. - NSTP/Asyraf Hamzah
Saifuddin menetapkan matlamat industri perfileman akan bangkit semula dengan dana disalurkan PELAKSANA. - NSTP/Asyraf Hamzah

"Kerjasama ini sangat penting kerana kita menetapkan satu garis panduan iaitu tiada monopoli. Ini bermakna, jika sesebuah produksi itu dapat tawaran untuk Astro, dia tidak boleh ambil tawaran di TV Alhijrah.

"Kita tak mahu berlakunya satu syarikat memonopoli stesen TV," katanya.

Ahmad Idham berkata, FINAS juga mahu mempelbagaikan program yang diterbitkan melalui bantuan diagihkan.

"Jadi, tidaklah semuanya telemovie ataupun drama bersiri. Pada masa sama, garis panduan ini dapat membantu rakan lain seperti pemuzik apabila bantuan yang dibelanjakan untuk menerbitkan program hiburan.

"Selain itu, dengan adanya usaha sama dengan stesen TV, mereka boleh membantu mengenal pasti produksi mana yang boleh buat kerja.

"Kita kena percaya pada mereka kerana mereka sering berurusan dengan syarikat produksi," katanya.

Mengulas dakwaan ada sesetengah penerbit menangguhkan kerja penggambaran sedangkan bantuan sudah diberikan, Ahmad Idham memberi amaran tindakan akan diambil kepada pihak terbabit kerana melanggar syarat ditetapkan.

"Melalui taklimat yang diberi pengerusi sebelum ini, setiap produksi yang layak perlu menyegerakan penggambaran mereka sesuai dengan matlamat kerajaan yang mahu melihat industri perfileman kembali rancak dalam tempoh enam bulan. Pemantauan akan dibuat.

"Kita akan hubungi produksi terbabit selepas sebulan untuk bertanya perkembangan projek mereka. Jika didapati mereka masih belum meneruskan penggambaran, kita akan tarik balik dana dan berikan kepada produksi lain yang boleh buat kerja," katanya.

Sementara itu, melalui perjanjian ditandatangani FINAS, MPB, Astro dan TV Alhijrah, semua stesen TV bertanggungjawab mengenalpasti syarikat produksi yang mempunyai rekod bersih dengan hasil kerja cemerlang untuk disalurkan bantuan kerajaan.

FINAS memberi kebebasan kepada stesen TV untuk berkarya apabila mereka diberi mandat untuk mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat produksi yang menepati spesifikasi mereka.

Kategori penerbitan juga dikenal pasti FINAS dan stesen TV terbabit, sama ada drama bersiri, supertele, rancangan majalah, dokumentari, bual bicara dan program hiburan serta sukan.

Berita Harian X