Jumaat, 24 Julai 2020 | 1:00pm
Penggiat industri kreatif yang terjejas akibat pandemik COVID-19 kini boleh mengemukakan permohonan pelbagai skim dan inisiatif di bawah PENJANA. FOTO NSTP
Penggiat industri kreatif yang terjejas akibat pandemik COVID-19 kini boleh mengemukakan permohonan pelbagai skim dan inisiatif di bawah PENJANA. FOTO NSTP

Inisiatif PENJANA bantu penggiat industri kreatif dibuka

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kreatif yang terjejas akibat pandemik COVID-19, boleh mengemukakan permohonan menikmati pelbagai skim dan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), mulai sekarang.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan bernilai RM225 juta bagi membantu merangsang kembali industri seni, budaya, hiburan dan acara di bawah PENJANA yang disalurkan melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd.

MyCreative Ventures dalam kenyataannya menyebut, antara skim dan inisiatif yang boleh dimanfaatkan adalah Geran Acara Langsung, Geran Pemasaran Digital, Skim Padanan Pelaburan serta Pinjaman Mudah Faedah Rendah.

Menurut kenyataan itu, selama enam bulan mulai Julai hingga Disember depan, MyCreative Ventures akan memberi tumpuan dalam membantu perniagaan industri kreatif beralih ke arah digital dan secara atas talian dengan lebih berkesan.

Pengerusi MyCreative Ventures, Mohd Naguib Razak, berkata peruntukan keseluruhan bernilai RM190 juta yang dipertanggungjawabkan kepada badan itu bagi membantu penggiat industri kreatif dianggap tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan melalui cara yang paling cepat dan berkesan.

"Sebanyak 10 subsektor kreatif layak memohon meliputi penciptaan kandungan iaitu termasuk filem, kandungan penyiaran, penstriman dan permainan video.

"Sektor lain yang layak memohon adalah muzik, fesyen, seni persembahan, seni visual, sastera, seni tradisional dan kebudayaan. Selain itu, seni kulinari, reka bentuk dan pendidikan kreatif.

"Peranan secara keseluruhan MyCreative Ventures adalah untuk membantu perniagaan dan penggiat industri kreatif berhijrah ke landskap digital agar kekal relevan serta mampu berdaya saing dalam era normal baharu.

Mohd Naguib menjelaskan MyCreative Ventures akan membantu penggiat industri kreatif berhijrah ke landskap digital agar relevan dan mampu berdaya saing. Foto Ihsan MyCreative Ventures
Mohd Naguib menjelaskan MyCreative Ventures akan membantu penggiat industri kreatif berhijrah ke landskap digital agar relevan dan mampu berdaya saing. Foto Ihsan MyCreative Ventures

"Kami juga akan memberikan perhatian istimewa kepada acara langsung dan pameran terutama jika mereka mampu mengubah skop perniagaan kepada platform digital dan atas talian," katanya dalam kenyataan kepada BH Online.

Tambah Mohd Naguib lagi, pemohon yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai peruntukan disediakan boleh melayari laman web MyCreative Ventures. Garis panduan lengkap bagi setiap inisiatif dalam bentuk senarai soalan lazim disediakan dalam laman web berkenaan.

Selain itu, sistem 'hotline' turut disediakan bagi membantu pemohon membuat rujukan atau berbincang melalui laman web atau menerusi telefon.

Kenyataan MyCreative Ventures menambah, pihaknya turut berkolaborasi dengan sektor swasta antaranya Google, Facebook dan Yes untuk membantu individu menyesuaikan diri dengan normal baharu melalui latihan kaedah pengedaran dan promosi digital, pembangunan model perniagaan baharu serta penyambungan.

Berita Harian X