Sabtu, 18 Julai 2020 | 11:32am
Nurhalim meninggal dunia pada jam 10.30 malam tadi akibat kanser paru-paru tahap empat. Foto Ihsan FDAM
Nurhalim meninggal dunia pada jam 10.30 malam tadi akibat kanser paru-paru tahap empat. Foto Ihsan FDAM

Pengarah Nurhalim Ismail meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pengarah, Nurhalim Ismail, 63, meninggal dunia di rumahnya di Subang Jaya, Selangor, pada jam 10.30 malam tadi, akibat kanser paru-paru tahap empat.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim memberitahu, Nurhalim yang juga bekas presiden pertubuhan itu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya.

"Saya sempat melawat arwah pada jam 8.30 malam tadi dan ketika itu, keadaannya agak tenat.

"Apatah lagi, apabila pengurusan Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya menghantar beliau pulang, kami sudah dapat mengagak bagaimana keadaan arwah.

Selesai solat jenazah, Allahyarham Nurhalim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya. Foto Ihsan FDAM
Selesai solat jenazah, Allahyarham Nurhalim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya. Foto Ihsan FDAM

"Pemergian Nurhalim suatu kehilangan besar kepada industri. Sewaktu menjadi Presiden FDAM, arwah banyak membangunkan industri yang ketika itu sangat mencabar. Arwah adalah pengarah yang hebat," katanya kepada BH Online.

Penerbit dan pemilik Nur TV Production itu meninggalkan seorang balu dan tiga anak.

Pada 17 Jun lalu, Nurhalim dilaporkan selamat menjalani pembedahan berkaitan jantung di Hospital Serdang.

Anak sulung Nurhalim, Lia Juliana, 29, mengesahkan bapanya menghidap kanser paru-paru sejak minggu pertama Aidilftri lalu dan dirawat di IKN Putrajaya.

Ketika hayatnya, pengarah drama Di Halaman Rindu itu antara individu yang bertanggungjawab menubuhkan FDAM bersama Dr Mahadi J Murat, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Anwardi Jamil, Kamal Ishak, Othman Zainuddin dan M Yusof Mohamad.

Berita Harian X