Selasa, 14 Julai 2020 | 8:30am
Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim tidak menafikan wujudnya percanggahan pendapat apabila badan pelesenan diletakkan di bawah Music Rights Malaysia (MRM) Berhad.
Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim tidak menafikan wujudnya percanggahan pendapat apabila badan pelesenan diletakkan di bawah Music Rights Malaysia (MRM) Berhad.

MRM gagal fungsi badan pelesenan kolektif

KUALA LUMPUR: Sukar mencapai kata sepakat dan tidak dapat berfungsi sebagai badan pelesenan muzik kolektif menjadi faktor utama Music Rights Malaysia (MRM) Berhad secara rasminya dibubarkan, minggu lalu.

Kini, tiga badan pelesenan muzik, Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Berhad dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad diaktifkan semula selepas pembubaran MRM.

Selepas melalui proses rundingan dan perbincangan panjang, persetujuan dicapai untuk membubarkan MRM dengan setiap badan kembali melaksanakan tanggungjawab secara berasingan, demi kepentingan pemegang hak cipta.

Sebelum ini, MRM diperbadankan oleh badan pelesenan sebagai syarikat usaha sama bukan berasaskan keuntungan mengeluarkan lesen muzik secara kolektif berkuat kuasa 1 Januari 2017, selepas menerima pengisytiharan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata, tidak menafikan wujudnya percanggahan pendapat apabila badan pelesenan diletakkan di bawah MRM.

"MACP dan PPM sudah beroperasi lebih tiga dekad, sebelum diletakkan di bawah MRM sejak tiga tahun lalu. Dua badan pelesenan ini bergerak berasingan dan sudah biasa mengagihkan pendapatannya sendiri.

"Bagaimanapun, sepanjang tempoh berkenaan, kami dapati sukar untuk mencapai kata sepakat antara tiga badan pelesenan. Itu antara faktor utama MRM dibubarkan. Kerana, apabila tiga badan pelesenan ini dapat capai kata sepakat, barulah boleh bergerak.

"Disebabkan itu, langkah terbaik membubarkan MRM. Apatah lagi, tiga badan pelesenan ini mempunyai pendapat sendiri pada pemegang hak cipta yang dilindungi.

"Seperti MACP melindungi penulis lagu, komposer dan penerbit muzik, PPM melindungi syarikat rakaman, manakala RPM pula melindungi pelaku seperti penyanyi dan pemuzik," katanya kepada BH Online.

Rosmin berkata, rundingan pembubaran itu sudah lama diadakan sejak dua tahun lalu, tetapi baru sekarang mendapat keputusan muktamad.

Sehubungan itu, Rosmin yang juga Pengerusi PPM berkata, mereka menubuhkan jawatankuasa bagi menyelesaikan pengagihan wang kutipan bayaran royalti kepada Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan RPM yang belum dilaksanakan MRM.

"Jawatankuasa khas diketuai saya dan diusahakan bersama rakan industri untuk mengagihkan pendapatan mengikut kegunaan lagu. Kami sedang berusaha sebaik mungkin dengan cara yang paling adil dan saksama," katanya.

Jumaat lalu, MACP, PPM dan RPM mengumumkan pembubaran MRM.

Mengikut kenyataan bersama, tiga badan pelesenan berkenaan menjelaskan, MRM tidak dapat berfungsi sebagai badan pelesenan muzik kolektif secara berkesan akibat cabaran yang tidak dapat diatasi dalam mendapatkan kata sepakat antara badan pelesenan mengenai hal operasi. Sehubungan itu, MRM tidak mampu bergerak ke hadapan.

Berita Harian X