Jumaat, 10 Julai 2020 | 8:21pm
Jenazah arwah Dino selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taun Gusi, Kota Belud, petang tadi. Foto Facebook Dino Menara
Jenazah arwah Dino selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taun Gusi, Kota Belud, petang tadi. Foto Facebook Dino Menara

Dino Menara meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan rock Menara yang popular pada era 1990-an, Dino meninggal dunia di Hospital Kota Belud, Sabah, malam tadi, akibat gastrik.

Anak saudara Allahyarham Dino, Sara Feramona memberitahu, Dino atau nama sebenar, Rafdin Mensing, 51, dimasukkan ke hospital malam tadi, selepas mengadu sakit perut.

"Arwah mengadu sakit perut sejak seminggu lalu, tetapi berkeras tidak mahu ke hospital. Selepas melihat keadaan semakin teruk, dia dibawa ke hospital oleh isteri dan adik ipar, malam tadi," katanya kepada BH Online.

Sara berkata, proses pengebumian arwah diuruskan isteri manakala ahli keluarga yang lain berada di rumah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akibat penularan COVID-19.

Kumpulan rock, Menara mencipta populariti menerusi lagu Sayang.

Band yang dianggotai Nuar sebagai pemain gitar utama, Yen (bass), dan Lee (dram) merakamkan banyak lagu hit antaranya Bicara Sepi, Antara Wajah-Wajah Sayang, Memori Cinta Semalam dan Biarku Sendiri.

Pada era kegemilangan, Menara menghasilkan tiga album studio ialah Mitology yang dihasilkan pada 1990, Korona (1993) dan Cleopatra (1994).

Allahyarham Dino yang lebih dikenali sebagai Dino Menara, meninggalkan balu dan empat anak.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taun Gusi, Kota Belud, petang tadi.

Berita Harian X