X
Isnin, 6 Julai 2020 | 7:46pm
BCL berkongsi detik pertemuan ketika arwah Ashraf yang pada waktu itu menjadi pengacara program Beat TV, menemuramah dirinya pada 2007. Foto IG Bunga Citra Lestari
BCL berkongsi detik pertemuan ketika arwah Ashraf yang pada waktu itu menjadi pengacara program Beat TV, menemuramah dirinya pada 2007. Foto IG Bunga Citra Lestari

'Dear Love...' tanda cinta BCL

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) berkongsi kisah kepayahan dan perjuangan untuk bangkit meneruskan kehidupan selepas pemergian suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Melalui episod kedua video 'Dear Love…' yang dimuat naik di YouTube rasminya, semalam, BCL menceritakan betapa sukarnya dia kembali ke pentas selepas kehilangan tulang belakang yang selama ini setia menyokong kerjaya seninya.

"Jujur sahaja, hari ini saya berada di sini kerana lebih dari setahun yang lalu, saya di sini, ditemani Allahyarham suami.

"Jadi tempat ini memberi makna yang cukup istimewa dan ada kenangan tersendiri buat saya.

BCL beroleh semangat untuk bangkit semula selepas pemergian suami berkat sokongan keluarga dan peminat. Foto IG Bunga Citra Lestari
BCL beroleh semangat untuk bangkit semula selepas pemergian suami berkat sokongan keluarga dan peminat. Foto IG Bunga Citra Lestari

"Dear love, sempat terlintas di kepalaku, bisakah aku jalani ini? Kuatkah aku? Kadang rasanya ingin menyerah, tapi tidak. Aku putuskan untuk terus berjalan," luahnya.

Dalam babak pertama video berdurasi 11.20 saat itu, penyanyi Cinta Sejati ini dipaparkan sedang bersiap-siap menuju ke pentas untuk membuat persembahan di sebuah pusat beli-belah di Jakarta Selatan, iaitu aksi pertamanya selepas 10 hari pemergian arwah Ashraf.

Walaupun masih bergelut dengan perasaan sedih, BCL yang mengenakan pakaian serba hitam, dilihat cukup kuat untuk menghiburkan peminat yang turut memberi dorongan dan semangat kepadanya.

Biarpun ramai yang mempersoalkan tindakannya menyanyi ketika masih dalam tempoh berkabung berdasarkan keratan tajuk berita yang dikepilkan dalam video itu, namun, ibu kepada Noah Aidan Sinclair ini tetap cekal.

Melalui coretan itu, penyanyi dan pelakon berusia 37 tahun ini menjelaskan, dia dan Noah bangkit meneruskan kehidupan.

"Kucuba untuk berdiri kuat, berganding tangan dengan Noah meneruskan sisa hari tanpamu.

"Ini bukan perjalanan yang biasa bahkan membuatku merasa asing dan tak tahu harus ke mana. Apa yang aku tahu, aku harus menyelesaikan tanggungjawabku," katanya.

Ketika dirinya bersedih, BCL mengaku dia sangat beruntung kerana insan di sekeliling sangat menyayangi dirinya dan sentiasa memberi kata semangat.

"Aku bersyukur dikelilingi mereka yang menyokongku untuk bangkit, menemaniku di saat aku mencuba untuk memahami dan mengerti yang sedang terjadi dalam hidupku," kata pelakon filem Habibie & Ainun ini.

Sejak dimuat naik, video itu merekodkan jumlah tontonan melebihi 2.2 juta.

Bulan lalu, BCL memuat naik episod pertama video "Dear Love…" yang menterjemahkan rasa rindu terhadap arwah Ashraf.

BCL dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan Noah yang kini berusia 10 tahun.

Februari lalu, industri hiburan Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan pemergian mengejut Allahyarham Ashraf akibat serangan jantung.

Berita Harian X