Ahad, 28 Jun 2020 | 3:00pm
Wani Kayrie terduduk dikecam, bukan hanya netizenMalaysia, malah diserang masyarakat luar negara. - Foto IG Wani Kayrie
Wani Kayrie terduduk dikecam, bukan hanya netizenMalaysia, malah diserang masyarakat luar negara. - Foto IG Wani Kayrie

Wani teruk dikecam hitamkan wajah

KUALA LUMPUR: Gara-gara video TikTok menampilkan wajah dicat hitam, penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie, 20, dihentam teruk, dituduh tidak sensitif dan dianggap bersikap perkauman.

Hanya kerana memuat naik video joget dalam TikTok dengan wajah diwarnakan, Wani bukan hanya diperkatakan netizen di Malaysia, malah akaun laman Twitter itu turut 'diserang' netizen luar negara.

Ia gara-gara dunia digemparkan dengan kematian lelaki kulit hitam, George Flyod yang mati dalam tahanan polis di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.

Memburukkan keadaan, satu petisyen diwujudkan bagi membantah penggambaran drama berkenaan diteruskan. Tidak tahan kecaman keterlaluan, Wani membuat keputusan memadamkan video berkenaan, sambil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sedangkan, ramai tidak tahu Wani berpenampilan sedemikian kerana membawakan watak Dayang Senandung untuk drama terbaharu terbitan Zeel Production.

"Saya terkejut apabila nama menjadi perbualan hangat dalam laman Twitter. Sejujurnya, saya tiada niat langsung untuk sengaja menularkan video berkenaan demi meraih perhatian.

"Rasa bersalah tidak hanya kepada syarikat produksi, malah kepada semua yang terbabit dalam drama Dayang Senandung. Sepatutnya, saya lebih teliti dan berhati-hati dalam setiap tindak tanduk.

Wajah Wani Kayrie dicat hitam kerana membawakan watak Dayang Senandung dalam drama terbitan Zeel Production. - Foto IG Wani Kayrie
Wajah Wani Kayrie dicat hitam kerana membawakan watak Dayang Senandung dalam drama terbitan Zeel Production. - Foto IG Wani Kayrie

"Bagaimanapun, saya bersyukur pasukan produksi dan barisan pelakon memberikan kata semangat yang membuatkan saya mampu berdiri semula," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Jangan Jangan itu berkata, dia sedar kekhilafan dirinya.

"Saya sudah memohon maaf pada semua yang terbabit termasuk produser, Fadzil Teh. Saya melihat isu ini sebagai satu pengajaran. Syarikat produksi dan saya sudah memberikan penjelasan rasmi. Kami hanya berharap penjelasan ini diterima.

"Saya akui, inilah kali pertama nama saya dikaitkan dengan isu besar sepanjang lebih sedekad bergelar penyanyi dan pelakon.

"Saya tak biasa berdepan dengan situasi sebesar ini. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang berat untuk saya tanggung," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia percaya dalam setiap perbuatan dilakukan, pasti ada 'kali pertama' untuk menjadikannya lebih peka dalam kehidupan.

"Semestinya, saya melihat ia pada sudut yang positif untuk saya lebih kuat dan cekal. Bagaimanapun, saya tidak melihat kontroversi berlaku sebagai laluan untuk melonjakkan nama dengan mudah.

"Pada saya, biarlah nama lambat naik, asalkan bukan dengan kontroversi buruk. Masih banyak lagi cara lain untuk menaikkan nama. Saya lebih senang berusaha berbanding mencari jalan pintas dengan mencetuskan kontroversi," katanya.

Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah berkata, kesannya yang diterima amat mendalam.

"Sampaikan terduduk tidak tahu nak buat apa. Cuma, saya bersyukur masih ada orang sekeliling yang memberikan semangat.

"Bagaimanapun, ia tidaklah sampai trauma untuk membuat video, cuma saya akan lebih berhati-hati untuk setiap kandungan yang dimuat naik," katanya.

Wani berkata, dia kini berhati-hati mengemaskini media sosial, tetapi tidaklah bersikap selektif dalam memilih watak kerana bimbang kontroversi berulang.

"Bagi saya, semua ini adalah soal rezeki. Kerjaya utama, masih pada nyanyian. Jadi, tak kira watak apa yang diberikan pada masa akan datang, saya akan cuba buat yang terbaik. Jika kena dengan jalan cerita dan masa, tiada alasan untuk saya menolak.

"Kontroversi boleh tercetus pada bila-bila masa. Cuma, kita tidak tahu bahagian macam mana. Secara keseluruhan, saya berharap semua dapat memaafkan kekhilafan yang berlaku," katanya.

Berita Harian X