Ahad, 28 Jun 2020 | 1:00pm
Zara Zya mengusahakan Restoran Zara Zya Cooks bersama kekasihnya yang masih belum didedahkan identiti. - Foto IG Zara Zya
Zara Zya mengusahakan Restoran Zara Zya Cooks bersama kekasihnya yang masih belum didedahkan identiti. - Foto IG Zara Zya

Zara tak putus asa, buka restoran baharu

KUALA LUMPUR: Pengalaman berdepan dengan kegagalan apabila dua restorannya bungkus tidak sesekali membuatkan aktres, Zara Zya berputus asa.

Pelakon drama Seadanya Aku dan Korban Kasih itu tetap berusaha apabila membuka restoran ketiga. Restoran Zara Zya Cooks beroperasi di Shah Alam, Selangor mula dibuka sejak awal Jun lalu diusahakan bersama teman lelakinya selaku rakan kongsi.

Akuinya, dia lebih teruja kali ini, memandangkan perniagaannya mendapat sambutan di luar jangkaan.

"Saya dapat merasakan saya sudah menemui 'forte' perniagaan sebab sebelum ini, ramai tahu saya membuat pelbagai perniagaan. Secara jujurnya, perniagaan makanan menjadi minat sejak dahulu.

"Peminat tahu saya suka masak dan ada yang meminta saya membuka restoran. Impian saya memiliki restoran sendiri sejak dahulu lagi. Cuma, kini saya berjumpa pasukan yang betul untuk membangunkan perniagaan dan lokasi pula di kawasan strategik," katanya kepada BH Online.

Pengalaman dua restoran bungkus mengajar Zara Zya mengendalikan restoran dengan lebih baik bersama pasukan berpengalaman. - Foto IG Zara Zya
Pengalaman dua restoran bungkus mengajar Zara Zya mengendalikan restoran dengan lebih baik bersama pasukan berpengalaman. - Foto IG Zara Zya

Berkongsi perjalanannya, Zara menyifatkan pengalaman terdahulu mengajarnya untuk mengendalikan restoran dengan lebih baik.

"Sebelum ini, saya pernah mempunyai kedai makan di Medan Selera di pusat beli belah Melawati Mall. Di situ, saya hanya menjual nasi lemak, tetapi sambutan sangat memberangsangkan. Kemudiannya, ia ditutup dan saya buka pula Kedai Suka Makan di Mutiara Damansara.

"Bagaimanapun, ia juga ditutup mungkin namanya tidak cukup kuat dan disebabkan masalah dalaman. Restoran Zara Zya Cooks ini dikira perniagaan ketiga saya.

"Kali ini, saya tampil dengan strategi baharu dengan meletakkan nama saya sendiri dan menggunakan khidmat pasukan yang sememangnya berpengalaman," katanya.

Berita Harian X