Selasa, 23 Jun 2020 | 11:00am
Wani tutup ruangan komen di Instagram elak peminat berbalah gara-gara kontroversi video TikTok. Foto IG Wani Kayrie
Wani tutup ruangan komen di Instagram elak peminat berbalah gara-gara kontroversi video TikTok. Foto IG Wani Kayrie

Wani Kayrie tutup komen elak perbalahan

KUALA LUMPUR: Ada sebab mengapa pelakon dan penyanyi, Wani Kayrie menutup ruangan komen di Instagram (IG) gara-gara kontroversi video TikTok, baru-baru ini.

Wani menjelaskan, dia bertindak demikian bagi mengelak perbalahan antara netizen iaitu rakyat tempatan dan luar negara, rentetan daripada kisah sensasi itu.

"Saya sedar isu ini tular hingga ke luar negara. Saya tidak mahu rakyat Malaysia dan orang luar terus bergaduh.

"Saya bukan hendak lari daripada khilaf. Cuma saya tidak mahu menanggung dosa orang lain.

"Sebab itulah saya tutup ruangan komen dan mengaktifkan 'private' bagi akaun IG saya," katanya kepada BH Online.

Sabtu lalu, niat Wani berkongsi klip video tarian dengan wajah disolek hitam melalui aplikasi TikTok sebagai hiburan, membawa padah apabila dikecam netizen.

Wani enggan lagi berkongsi foto daripada penggambaran drama Dayang Senandung yang sedang dalam pembikinan. Foto IG Wani Kayrie
Wani enggan lagi berkongsi foto daripada penggambaran drama Dayang Senandung yang sedang dalam pembikinan. Foto IG Wani Kayrie

Wani atau nama sebenar, Syazwani Abdullah, 20, dituduh tidak sensitif dan bersikap perkauman melalui video yang didakwa dirakam pelakon dan penyanyi itu ketika menjalani penggambaran drama, Dayang Senandung, terbitan Zeel Production Sdn Bhd.

Tambah hangat, petisyen mendesak penerbitan drama terbabit dihentikan gara-gara video tular itu, diwujudkan. Sehingga kini, lebih 3,000 tandatangan sudah terkumpul.

Isu Wani hangat ketika dunia kecoh dengan kes pembunuhan lelaki kulit hitam yang dikenali sebagai George Floyd, ketika ditahan polis di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS), bulan lalu.

Wani kesal biarpun sudah memohon maaf, ada pihak tidak menerima penjelasan dibuat. Namun, tambah Wani, masih ada pihak yang menyokongnya.

"Saya lihat selepas beberapa hari permohonan maaf dibuat, makin ramai rakyat Malaysia yang menyokong kisah rakyat Dayang Senandung.

"Syukur ada pihak memahami kerja anak seni. Mereka yang tidak boleh terima cerita Dayang Senandung ini, itu pilihan mereka.

"Jika mereka hendak menganggap saya dan Syarikat Zeel Production rasis atau apa sekalipun, terpulanglah," katanya yang tidak akan berkongsi foto penggambaran drama berkenaan lagi.

Wani berkata, penggambaran drama Dayang Senandung berbaki seminggu.

Selesai tugasnya, Wani akan menyambung pengajian peringkat ijazah undang-undang dan perdagangan di salah institusi pengajian tinggi (IPT).

Berita Harian X