Sabtu, 20 Jun 2020 | 1:00pm
Ariff Bahran bekerjasama dengan penyanyi, Sufian Suhaimi menghasilkan single Usah yang berentak rancak. - Foto IG Ariff Bahran
Ariff Bahran bekerjasama dengan penyanyi, Sufian Suhaimi menghasilkan single Usah yang berentak rancak. - Foto IG Ariff Bahran

Ketepi soal hati selepas putus cinta

KUALA LUMPUR: Tanpa angin tanpa ribut, berita yang mengatakan penyanyi, Ariff Bahran putus cinta dengan wanita yang bekerja di produksi penerbitan sejak Mac lalu tersebar.

Menyifatkan apa yang berlaku sebagai tiada jodoh, Ariff Bahran yang lebih mesra disapa Bahran itu berkata, hubungan dengan bekas teman wanita tetap baik, walaupun tidak bergelar pasangan kekasih.

"Kami berpisah cara baik dan masih berkawan. Cuma, saya tak nak komen punca perpisahan. Apa yang berlaku saya anggap sebagai ketentuan Ilahi dan saya terima dengan hati terbuka.

"Tumpuan saya kini kepada kerjaya seni. Soal cinta, saya tolak ketepi terlebih dahulu. Banyak lagi perkara yang ingin dikejar termasuk menghasilkan lebih banyak lagu,' katanya kepada BH Online.

Ditanya apakah akan mengabadikan kisah cinta dalam lagu, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Kata Akhirmu itu berkata, ia memang ada dalam perancangannya.

"Saya berhasrat menulis lagu mengenai kisah cinta yang tidak kesampaian. Cuma, ia bukanlah dalam waktu terdekat kerana saya ada lagu lain yang menunggu giliran," katanya.

Januari lalu, kali pertama jejaka berusia 22 tahun itu mengenai soal hati dan perasaan apabila mendedahkan hubungannya dengan wanita yang dirahsiakan identiti.

Bahran juga tidak menyorokkan perkara itu apabila turut berkongsi foto bersama wanita istimewa itu dalam laman Instagram.

Beralih perkembangan kerjaya seni, penyanyi berkulit hitam manis itu teruja menantikan single terbaharu berjudul Usah.

Mengulas pembikinan single itu, Bahran berkata, lagu itu menyaksikannya kali pertama membawakan rentak rancak.

"Sebelum ini, saya dikenali sebagai penyanyi lagu balada. Jujurnya, saya berdebar menantikan maklum balas peminat apabila menyanyikan lagu berentak rancak yang ada sentuhan R&B ini.

"Apabila saya membawa perubahan dalam single ini bukanlah bermakna saya sudah tidak mahu menyanyikan lagu berentak balada. Cuma, saya mahu beralih angin sahaja.

"Lagu ini sudah lama disimpan sejak dua tahun lalu. Baru sekarang saya rasakan sesuai untuk merakamkannya," ujarnya.

Single Usah menyaksikan Bahran bekerjasama dengan Sufian Suhaimi dari segi penciptaan lagu.

"Projek ini bermula ketika kami melakukan sesi 'jamming' bersama. Tak sangka pula muzik spontan yang Sufian mainkan kena dengan melodi lagu ini.

"Dari situ, tercetusnya idea untuk berkolaborasi dalam menghasilkan lagu ini. Saya cipta bahagian 'verse' manakala bahagian korus digubah oleh Sufian," cerita jejaka tinggi lampai ini.

Ramadan lalu, Bahran muncul dengan lagu bergenre nasyid berjudul Sebenarnya Cinta. Lagu itu menyaksikannya bergandingan dengan bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani.

Mengakui teruja dengan kolaborasi itu, Bahran berkata, gandingan ibarat orang mengantuk disorongkan bantal buatnya.

"Saya minat dengan Nazrey masa zaman sekolah lagi. Saya sering menyanyikan lagunya. Apabila syarikat label bertanyakan saya mahu berduet dengannya, tanpa berfikir panjang, saya terus menyatakan persetujuan.

"Rakaman dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan dan dibuat bersama-sama. Sepanjang rakaman saya banyak menimba ilmu dengannya.

"Antara nasihatnya yang saya masih ingat adalah teruslah melakukan apa yang disukai dan jangan tinggal solat," katanya.

Berita Harian X