Jumaat, 12 Jun 2020 | 5:57pm
Poe menghembuskan nafas terakhir di HKL selepas mengalami masalah jantung dan komplikasi lain, tengah hari tadi. Foto Facebook Poe
Poe menghembuskan nafas terakhir di HKL selepas mengalami masalah jantung dan komplikasi lain, tengah hari tadi. Foto Facebook Poe

Penyanyi reggae, Poe meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Penyanyi reggae popular era 1990-an, Poe atau nama sebenar, Mohd Fauzi Ahmad, 64 meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 12.30 tengahari tadi.

Isterinya, Nor Aishah Zakaria, 54, memberitahu, arwah mengalami masalah jantung dan pelbagai komplikasi lain sejak beberapa tahun lalu.

"Kelmarin arwah keluar dari Hospital Selayang selepas dimasukkan seminggu lalu. Ketika dibenarkan pulang, arwah masih belum sihat sepenuhnya.

"Selepas melihat keadaan kesihatan semakin merosot, kami bawa arwah ke HKL. Arwah ada beritahu, dia rasa seolah-olah hayatnya tidak lama.

"Tetapi kami tidak mengambil serius perkara itu. Tidak sangka pula itu petanda dia mahu meninggalkan kami semua," katanya kepada BH Online.

Nor Aishah berkata, urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, sedang diatur.

"Semua urusan diselesaikan di HKL dan arwah akan dikebumikan secepat mungkin," katanya.

Dua tahun lalu, Poe pernah dimasukkan ke hospital berikutan masalah paru-paru berair dan jantung bengkak.

Allahyarham yang terkenal dengan imej rasta ini pernah menganggotai kumpulan duo, Rampa bersama Zainal.

Antara lagu popularnya adalah Jelaskan dan Ala Lala Tok (Jangan Saman).

Berita Harian X