Khamis, 11 Jun 2020 | 1:00pm
Tohmahan dilemparkan menyebabkan Aina Abdul hilang keyakinan diri dan tak mahu menonjolkan wajah. - Foto Instagram Aina Abdul
Tohmahan dilemparkan menyebabkan Aina Abdul hilang keyakinan diri dan tak mahu menonjolkan wajah. - Foto Instagram Aina Abdul

Dikecam buruk, Aina nyanyi pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR: Tindakan netizen mempertikaikan wajah dan penampilan menyebabkan penyanyi, Aina Abdul memakai pelitup muka ketika mendendangkan lagu Semalam menerusi laman Instagram (IG), baru-baru ini.

Penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, tindakan itu menyebabkannya kurang berkeyakinan untuk menonjolkan wajah berikutan kata-kata kurang enak dilemparkan netizen terhadap dirinya.

"Saya sering terbaca komen kurang manis dalam laman YouTube, sejak beberapa minggu ini. Mereka mempertikaikan penampilan dan membandingkan saya dengan penyanyi lain.

"Tohmahan dilemparkan menyebabkan saya hilang keyakinan diri hingga tidak mahu menonjolkan wajah. Saya juga merasakan diri seorang yang buruk.

"Apapun, saya kena tabahkan hati dan terus menyanyi kerana ia menjadi sebahagian kerja mempromosikan lagu sendiri dalam media sosial. Saya terima kecaman hingga malas menunjukkan muka. Bagi mengelak terus dikecam, saya buat keputusan pakai pelitup muka," katanya kepada BH Online.

Dalam terkesan kecaman netizen, penyanyi berusia 27 tahun yang pernah mencetuskan kontroversi menerusi lagu Sumpah itu bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu apabila peminat memuji kemantapan vokal, meskipun menyanyi sambil memakai pelitup muka.

Aina berkata, peminat setia menjadi nadi kekuatan untuknya berdepan pelbagai kecaman.

Katanya, dek sokongan peminat jugalah membuatkannya bersemangat untuk terus melangkah.

"Saya terharu ada peminat memuji dan mengatakan vokal semakin mantap biarpun memakai pelitup muka. Sejujurnya, ia seperti memujuk hati yang terguris ketika kata nista dilemparkan.

"Sebenarnya, saya tiada sebarang formula, sebaliknya hanya menyanyi seperti biasa. Teknik nyanyian masih sama tak kira pakai pelitup muka atau tidak. Ia memerlukan pernafasan yang cukup sebelum melontarkan vokal," katanya.

Berita Harian X