Rabu, 10 Jun 2020 | 3:00pm
Remy Ishak mendapat surat doktor memohon kebenaran pulang ke kampung halaman di Melaka. - Foto Remy Ishak
Remy Ishak mendapat surat doktor memohon kebenaran pulang ke kampung halaman di Melaka. - Foto Remy Ishak

Remy kemurungan

KUALA LUMPUR: Lama 'terperap' sendirian di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa pada 18 Mac lalu, Remy Ishak mengaku kemurungan hingga terpaksa mendapatkan nasihat doktor.

Bimbang gangguan emosi dan mental bertambah buruk, hero drama Bukan Gadis Biasa itu dinasihatkan tidak tinggal bersendirian.

Menerusi surat dikeluarkan doktor, Remy atau nama sebenar, Mohammad Zalimei Ishak memohon kebenaran pihak berkuasa untuk pulang ke kampung halaman di Melaka.

Akui Remy, tidak ada apa yang hendak disorok mengenai kemurungan yang dialami. Perkara itu, bagi Remy, harus dikongsi untuk panduan masyarakat kerana disyaki ramai mengalami masalah sama sejak PKP dilaksanakan.

"Saya tinggal sendirian. Apabila terlalu lama tidak keluar bekerja dan berjumpa orang, saya jadi murung.

"Apatah lagi saya 'single', mungkin jika ada pasangan atau keluarga yang tinggal bersama, kuranglah kesunyian itu.

"Saya cuba untuk kuat, berfikiran positif dan memperbanyakkan membaca bagi menenangkan fikiran.

"Namun, perasaan itu tidak boleh bertahan lama. Semakin lama, semakin sukar untuk saya mengawal perasaan.

"Jadi, saya buat keputusan mendapatkan nasihat doktor. Malah, syarikat pengurusan turut menyokong tindakan saya itu," katanya kepada BH Online.

Remy bersyukur kemurungan dialami bukan pada tahap teruk.

"Tetapi doktor tidak membenarkan saya tinggal bersendirian. Jadi saya meminta kebenaran pulang ke kampung untuk bersama keluarga.

"Jadi saya ada ibu, adik dan anak buah yang boleh saya berinteraksi berdepan berbanding melalui telefon bimbit sahaja," katanya yang kini berada di kampung halaman sejak Ahad lalu.

Pelakon yang mencipta nama melalui filem Anak Halal pada 2007 berkata, biarpun sering berinteraksi dengan peminat melalui Instagram Live, perasaan itu tidak sama.

Tambahnya, jadual tidur yang berubah sejak PKP turut mengganggu emosi.

Ujarnya lagi, biarpun sudah lama berdepan masalah kemurungan, baru sekarang dia pulang ke kampung kerana tidak mahu membahayakan kesihatan ibu yang sudah berusia.

"Rehat terlalu lama membuatkan tubuh penat lalu murung. Saya sudah lama berhasrat pulang ke kampung, namun, memikirkan Kuala Lumpur dan Selangor mencatat jumlah jangkitan COVID-19 tinggi, saya terpaksa menangguhkan hasrat itu," katanya.

Remy berkata, di kampung, dia lebih selesa berehat di rumah biarpun kerajaan sudah memberi banyak kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Aktor berusia 38 tahun ini turut menasihati orang ramai agar beringat dan berhati-hati hati biarpun kerajaan sudah memberi kelonggaran untuk merentas negeri.

Akuinya, tiada masalah untuk bercuti atau pulang ke kampung tetapi sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

Menyentuh mengenai kerjaya lakonan, Remy berkata, dia akan kembali bekerja pada 20 Jun ini. Bagaimanapun, Remy enggan mendedahkan produk yang bakal dijayakan.

Berita Harian X