Rabu, 10 Jun 2020 | 11:00am
Riz Ismail akur dengan situasi semasa, filem sulungnya akhirnya ditayangkan di Astro First. - Foto Pencil Pictures & Records
Riz Ismail akur dengan situasi semasa, filem sulungnya akhirnya ditayangkan di Astro First. - Foto Pencil Pictures & Records

Riz ingin tonton lakonan di pawagam

KUALA LUMPUR: Sekalipun hasrat melihat filem pertamanya, Ada Apa Dengan Dosa ditayangkan di pawagam tidak kesampaian, pelakon, Riz Ismail tetap bersyukur lakonannya dipertontonkan.

Filem bergenre drama Islamik arahan Rahila Ali itu sepatutnya menemui penonton di pawagam pada 24 September depan, namun akhirnya ditayangkan di Astro First sejak 4 Jun lalu.

"Secara jujur, saya teruja mahu melihat lakonan sendiri dalam pawagam, tetapi apakan daya, kita hanya merancang, Allah menentukan. Tiada rezeki berikutan pandemik COVID-19 belum berakhir.

"Saya akur keadaan sekarang apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) perlu dipatuhi, selain tak boleh berkumpul di kawasan umum. Pawagam pun belum boleh beroperasi hingga hari ini.

"Kini, kita kena membiasakan normal baharu termasuklah menonton filem yang biasa ditonton di pawagam beralih dari rumah," katanya yang memegang watak Khaliq dalam filem terbitan Pencil Pictures & Records itu.

Selain Riz, filem yang menjalani penggambaran di Scotland pada 2018 itu turut dibintangi Wanna Ali, Fasha Sandha, Ashraf Muslim, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

Mengulas gandingan bersama Wanna, Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail memuji pelakon wanita itu.

"Dia sangat komited dengan kerjanya. Tambah pula, ia karya syarikat milik keluarganya.

"Saya tiada ada masalah bergandingan dengan Wanna. Dia sangat menepati masa dan menjalankan tanggungjawab dengan baik," kata Riz yang turut berterima kasih kepada Ashraf kerana tak lokek berkongsi ilmu lakonan.

Berita Harian X