Selasa, 9 Jun 2020 | 8:00pm
DJ Lin menerima permintaan lagu raya diputarkan lebih kerap untuk membangkitkan mood raya menemani pendengar dalam perjalanan pulang ke kampung. - Foto Instagram DJ Lin
DJ Lin menerima permintaan lagu raya diputarkan lebih kerap untuk membangkitkan mood raya menemani pendengar dalam perjalanan pulang ke kampung. - Foto Instagram DJ Lin

Lagu raya menemani pendengar balik kampung

KUALA LUMPUR: Stesen radio tempatan menerima permintaan tinggi pendengar yang mahu lagu raya kembali diputarkan sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa esok.

Menerusi pengumuman dilakukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu, orang ramai dibenarkan merentas negeri selepas hampir tiga bulan tidak dibenarkan.

Justeru, orang ramai tentunya tidak mahu terlepas peluang pulang ke kampung halaman, memandangkan masih dalam bulan Syawal.

Pengurus Kanan Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, pihaknya menerima permintaan lagu raya diputarkan kembali dengan lebih kerap untuk membangkitkan mood raya ketika pulang ke kampung selepas Perdana Menteri mengumumkan kebenaran merentas negeri.

"Bermula esok, Suria FM akan kembali memutarkan lagu raya atas permintaan pendengar setia. Kami akan memutarkan tiga atau mungkin lebih lagu raya setiap jam, bergantung kepada permintaan pendengar.

"Kami faham perasaan pendengar yang teruja pulang ke kampung meraikan Aidilfitri selepas tidak dapat berbuat demikian pada 1 Syawal lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ini salah satu inisiatif dan tanggungjawab sosial Suria FM untuk pendengar. Kami akan memutarkan rangkaian lagu raya bermula esok hingga Ahad. Kami bertanggungjawab memenuhi permintaan pengikut setia," katanya kepada BH Online.

DJ Lin berkata, kepuasan pendengar sentiasa menjadi keutamaan stesen radio.

Sebelum ini, katanya, pendengar berkongsi kesedihan gara-gara tidak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga disebabkan pandemik COVID-19 belum berakhir.

Justeru, DJ Lin berkata, rasanya tidak salah Suria FM meraikan tangisan kegembiraan pendengar.

Sementara itu, stesen milik Media Prima Berhad, Hot FM pula mengambil inisiatif memutarkan kembali lagu raya mulai malam ini.

Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana Razali berkata, Hot FM mengatur strategi bagi membangkitkan semula semangat dan mood pendengar yang mahu pulang ke kampung bertemu ibu bapa dan sanak saudara selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri.

"Bagi membangkitkan keseronokan pendengar yang mahu pulang ke kampung, Hot FM mula memutarkan rangkaian lagu, malam ini. Pemilihan lagu lebih tertumpu kepada lagu rancak yang memberi mesej pulang, balik kampung dan lagu yang boleh memeriahkan suasana perjalanan pendengar.

"Pengisian lagu raya akan berterusan hingga hujung minggu hadapan bagi memberikan hiburan terbaik kepada pendengar setia. Selain lagu raya, program ucapan dan dedikasi akan disajikan kepada pendengar supaya mereka dapat berkongsi kegembiraan pulang beraya selepas lebih dua minggu berada dalam bulan Syawal.

"Selain lagu raya, pengisian program akan diselang seli dengan mesej positif untuk menjadikan perjalanan balik kampung pendengar menjadi lebih bermakna," katanya.

Jika Hot FM memilih rangkaian lagu rancak, Kool FM pula memilih lagu raya popular dan malar segar untuk hidangan halwa telinga pendengar setianya.

Ketua Program Kool FM, Raja Khairil Idris berkata, stesen berkenaan mula memutarkan lagu raya, sejak semalam. Penekanan diberikan kepada lagu raya popular yang boleh membuatkan pendengar menyanyi bersama apabila lagu berkumandang.

"Objektif utama Kool FM adalah menjadi teman sepanjang perjalanan balik kampung pendengar kami. Ia sekali gus dapat membangkitkan suasana ceria dan menaikkan semangat pendengar untuk berhari raya.

"Kami akan memainkan lagu raya yang memberikan impak lebih besar kepada pendengar setia sepanjang hari pada Sabtu dan Ahad ini. Kami hanya akan memainkan lagu yang memberikan impak lebih besar kepada pendengar. Program istimewa Aidilfitri pula dimainkan semula dan segmen dedikasi raya akan dipanjangkan daripada dua kepada tiga jam.

"Ini adalah salah satu cara Kool FM menyambut berita gembira selepas kerajaan mengizinkan aktiviti merentas negeri. Kami mengibaratkan hari ini adalah 1 Syawal buat semua rakyat Malaysia. Menjadi tanggungjawab kami sebagai saluran media untuk meraikan kemenangan ini bersama dengan pendengar Kool FM," katanya.

Berita Harian X