X
Ahad, 7 Jun 2020 | 11:00am
Scha Elinnea terbuka menerima kritikan netizen, namun memilih untuk tidak menyimpan dalam hati. - Foto Instagram Scha Elinnea
Scha Elinnea terbuka menerima kritikan netizen, namun memilih untuk tidak menyimpan dalam hati. - Foto Instagram Scha Elinnea

Pejam mata kena kecam

KUALA LUMPUR: Pelakon drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe, Scha Elinnea, 20, tidak kisah diasak cemuhan berikutan dilabel imej seksi, malah tidak menyimpan dalam hati.

"Saya tak kisah netizen nak cakap sebab saya agak seksi sejak dahulu. Bukan sahaja di laman Instagram (IG), malah juga di luar.

"Saya terbuka menerima kritikan netizen, namun memilih untuk tidak menyimpan dalam hati. Saya hanya mahu menjadi diri sendiri.

"Saya tak mahu dalam laman sosial jadi orang lain, di luar pula orang lain. Saya tiada masalah apabila netizen melontarkan komen negatif, saya pejam mata. Saya membacanya, tetapi tidak pernah membalas," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Scha yang mengukir nama menerusi drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek dan Voice Note berkata, adilkah seseorang diadili hanya kerana berimej seksi.

"Orang di luar tak kenal saya secara peribadi, jadi jangan mengadili hanya kerana saya suka berpakaian seksi.

"Saya tidak hanya bergantung pada rupa dan imej semata-mata untuk berjaya dalam bidang lakonan.

"Bagi saya, jika cantik dan seksi, tetapi tiada bakat pun tiada gunanya. Lebih lagi, memilih kerjaya sebagai pelakon, tiada bakat, tak boleh buat apa. Jadi, saya bersyukur memiliki kelebihan dan insya-Allah, saya akan menggunakan bakat dengan baik," katanya.

Gadis kelahiran Kelantan tetapi dibesarkan di Kedah dan Kuala Lumpur itu mula diperkenalkan menerusi drama Mr Grey pada 2018. Terbaharu, Scha membintangi drama Nasi Kerabu Untuk Cik Abe yang kini sedang disiarkan di slot Akasia di TV3.

Mengakui gembira kali pertama dapat meloloskan diri menghiasi slot Akasia, Scha berkata, biarpun bukan selaku pelakon utama, tetapi dia sudah berbesar hati.

"Awalnya, drama Nasi Kerabu Untuk Cik Abe bukan disiarkan di slot Akasia, tetapi rezeki akhirnya terpilih menghiasi slot popular ini.

"Saya sangat gembira sebaik mendapat tahu ia akan ditayangkan di slot Akasia.

"Kita tahu bukan mudah slot yang dinantikan ramai pelakon ini. Saya tak pernah mendapat peluang, ini membuatkan ramai penonton mula menyedari kehadiran saya. Saya bersyukur ramai penonton meninggalkan komen dalam laman sosial," katanya.

Scha atau nama sebenarnya, Natasha Mohamed Mubeen berkata, kebanyakan komen yang diterima positif.

"Apabila membawa watak Zetty, komen yang ditinggalkan juga tidak berbau kecaman. Ia berbeza dengan maklum balas ketika saya membintangi drama Voice Note. Saya dikecam kerana karakter negatif.

"Tak kira positif atau negatif, saya mengambilnya sebagai proses pembelajaran. Saya akan tampil menerusi filem Marabahaya Underground pula selepas ini," katanya.

Berita Harian X