Ahad, 7 Jun 2020 | 8:30am
Farah Nabilah dan suami, Mohammed Amirul Yunus kali pertama meraikan Syawal sebagai suami isteri, raya bersama kedua-dua keluarga. - Foto Instagram Farah Nabilah
Farah Nabilah dan suami, Mohammed Amirul Yunus kali pertama meraikan Syawal sebagai suami isteri, raya bersama kedua-dua keluarga. - Foto Instagram Farah Nabilah

Farah Nabilah rindu berlakon

KUALA LUMPUR: Tujuh tahun menyulam cinta, pelakon yang menempa populariti menerusi drama Titian Cinta, Farah Nabilah, 28, seronok meraikan Syawal buat kali pertama sebagai seorang isteri.

Farah diijabkabulkan dengan juruterbang, Mohammed Amirul Yunus, 29, pada Disember tahun lalu teruja dapat menyediakan beberapa biskut raya atas permintaan suaminya. Antaranya, popia nestum.

Bagaimanapun, untuk persiapan raya, anak sulung daripada enam adik beradik itu hanya melakukan persiapan secara sederhana berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Farah atau lebih mesra disapa Fawa berkata, dia hanya menyediakan sepasang baju sedondon bersama suami. Disebabkan tempoh PKPB, persiapan rayanya secara sederhana. Mereka hanya memakai persalinan sedondon pada hari raya pertama, selebihnya baju lama yang sedia ada.

"Alhamdulillah, inilah kali pertama meraikan Syawal sebagai suami isteri. Selama tujuh tahun menjalinkan hubungan cinta, tentu seronok akhirnya dapat melayari hidup bersama.

"Saya dan suami tinggal di rumah keluarga saya buat sementara waktu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tempoh hari. Amirul tidak terbang ke mana-mana sepanjang PKP dan PKPB, jadi kami menggunakan masa berkualiti dengan sebaiknya.

"Saya berkesempatan memasak untuk suami dan keluarga. Amirul sekarang sudah belajar makan masakan Kelantan," katanya yang meraikan Syawal di Kuala Lumpur.

Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 pada 2018 itu berkata, dia sempat meraikan Syawal bersama keluarga mentua yang tinggal di Subang Jaya.

Bagaimanapun, katanya, agaknya menyedihkan tidak dapat berkunjung ke rumah nenek Amirul kerana bimbang membahayakan kesihatan warga emas berikutan penularan wabak COVID-19.

"Mengikut perancangan asal, saya menyambut 1 Syawal bersama keluarga mentua. Bagaimanapun, disebabkan COVID-19, kami beraya bersama keluarga saya terlebih dahulu.

"Kami sepatutnya menziarahi nenek Amirul, tetapi tiada peluang, selain memikirkan keselamatan orang tua. Insya-Allah, kami pasti menziarahinya apabila tempoh PKPB berakhir. Amirul agak sedih tidak dapat bertemu neneknya.

"Sebenarnya, saya tak sabar mahu berkenalan dengan sanak saudara Amirul, nampaknya hasrat tidak kesampaian. Bagaimanapun, tidak mengapa, insya-Allah kami akan bertemu tahun depan.

"Jika tidak disebabkan tempoh PKPB, saya mempunyai perancangan pulang ke kampung halaman ibu bapa di Bachok, Kelantan, selepas mengunjungi keluarga Amirul. Nampaknya, perancangan terpaksa ditunda dan kami hanya beraya di Kuala Lumpur, tahun ini," katanya kepada BH Online.

Mengulas kerjaya lakonannya, Farah berkata, dia merindui suasana penggambaran drama.

Bagaimanapun, katanya, dia risau mampukah pelakon dan kru produksi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial apabila di lokasi penggambaran.

"Saya belum pasti sama ada mahu masuk kembali bekerja atau sebaliknya. Walaupun perlu mematuhi SOP, tetapi saya tidak yakin ia mampu dilakukan. Mungkin saya akan menunggu hingga keadaan reda terlebih dahulu.

"Buat masa sekarang, saya banyak menghasilkan kandungan untuk laman sosial. Saya suka berkongsi resipi dengan pengikut dalam laman Instagram. Selain itu, saya mengambil kesempatan meluangkan masa bersama suami, sebelum kami sibuk bekerja," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X