Jumaat, 5 Jun 2020 | 1:12pm
Rosyam (kanan) mengaku sukar mencari pengganti Farid kerana drama sudah separuh disiapkan. - Foto NSTP
Rosyam (kanan) mengaku sukar mencari pengganti Farid kerana drama sudah separuh disiapkan. - Foto NSTP

'Susah nak ganti Farid'

KUALA LUMPUR: Penerbit Suhan Movies & Trading, Datuk Rosyam Nor tidak berhasrat menggantikan watak dibawa Datuk Farid Kamil dalam projek drama belum berjudul yang tertangguh akibat COVID-19 dan perkembangan terkini membabitkan aktor itu yang dihukum penjara, Selasa lalu.

Rosyam mengaku mustahil menggantikan watak Farid dengan pelakon lain berikutan hampir separuh penggambaran drama berkenaan sudah dibereskan.

"Saya difahamkan Farid sedang meminta kelonggaran mahkamah untuk menyelesaikan penggambaran sebelum menjalani hukuman.

"Saya masih menunggu jawapan Farid. Syarikat sedang berbincang dengan Astro bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini," katanya kepada BH Online.

Selasa lalu, Farid, 39, dihukum penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat menghalangnya melakukan tugas, dua tahun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham dilaporkan menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dan penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan.

Rosyam berkata, Farid berjanji memberi komitmen kepada pembikinan drama berkenaan apabila penggambaran dimulakan, tidak lama lagi.

"Farid membawa watak utama dalam drama itu. Memang kami ada berbincang mengenai hal ini (hukuman dikenakan mahkamah).

"Tetapi Farid beri jaminan untuk menghabiskan penggambaran. Selain drama ini, dia juga perlu menyiapkan sebuah filem lain.

"Dalam keadaan produk yang sudah separuh siap, mustahil untuk kami mencari pengganti tergesa-gesa.

"Lagipun bukan mudah mencari pelakon yang sesuai dan serasi dengan aktres gandingan, Lisa Surihani.

"Sebelum ini, Farid dan Lisa pernah digandingkan dalam filem Lagenda Budak Setan kira-kira 10 tahun lalu.

"Keserasian itu sudah ada, jadi agak sukar untuk kami cari pelakon lain menggantikan Farid," katanya.

Rosyam berkata, dia tidak pasti bila penggambaran drama berkenaan akan disambung kerana masih menanti butiran terperinci prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tambahnya, syarikat perlu memikirkan strategi mengendalikan kerja penggambaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Saya sudah berbincang dengan tenaga produksi dan teknikal mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi sebaik penggambaran bermula.

"Dalam penularan COVID-19, saya faham pemilik premis keberatan menyewakan aset mereka.

"Jadi, kami terpaksa memikirkan alternatif untuk menjalani penggambaran di luar dan menggunakan kreativiti yang ada," katanya.

Rosyam lega kru dan pelakon tidak perlu menjalani ujian swab COVID-19 seperti yang diumumkan Kementerian Kesihatan.

"Namun, kami tetap menitik beratkan SOP sepanjang penggambaran" katanya.

Berita Harian X