Khamis, 4 Jun 2020 | 5:30pm
Amira tidak sabar pulang ke Kuala Lumpur untuk melunaskan komitmen seni termasuk membincangkan projek pembikinan single baharu. - Foto Ihsan Amira Othman
Amira tidak sabar pulang ke Kuala Lumpur untuk melunaskan komitmen seni termasuk membincangkan projek pembikinan single baharu. - Foto Ihsan Amira Othman

Amira 'terkandas' di Johor

KUALA LUMPUR: Menghadiri majlis perkahwinan teman di Johor Bahru beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan, akhirnya, Amira Othman 'terkandas' di Johor, hampir tiga bulan.

Namun, pelaksanaan PKP dan PKP Bersyarat yang melangkaui Ramadan dan Syawal, memberi 1,001 kenikmatan kepada penyanyi dan pelakon itu meluangkan masa bersama keluarga di kampung.

Amira atau nama penuh, Nadia Amira Othman berkata, dia memanfaatkan masa bersama yang tersayang selain melakukan pelbagai tugas secara jarak jauh.

"Sepatutnya, selepas majlis perkahwinan itu, saya memenuhi komitmen seperti kempen jenama raya Starvilion dan undangan nyanyian.

"Tetapi semua kerja tertunda kerana wabak COVID-19, jadi, saya terus duduk di kampung. Cuma tidak sangka, PKP menjadi PKPB sehingga dapat meraikan Ramadan dan Syawal di kampung," katanya kepada BH Online.

Mengisi masa di rumah, kakak kepada penyanyi Irfan Haris ini banyak melakukan siaran langsung melalui Instagram (IG) selain mengemaskini entri.

"Kerja seni juga dilakukan di hujung jari," katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Amira mengaku suasana sangat berbeza.

"Saya pakai baju apa yang ada pada Hari Raya kerana persalinan semua disimpan di rumah di Kuala Lumpur.

"Mujur ada hadiah daripada pelbagai jenama fesyen, dapatlah melaram walaupun tidak keluar beraya.

"Ini kali pertama kami beraya di rumah. Selalunya, pada hari raya pertama, kami berkonvoi ke rumah sanak-saudara," katanya.

Amira berkata, dia memastikan ibu bapa tidak keluar rumah bagi mengelak kemungkinan terdedah kepada virus bahaya itu.

Mengenai karier seni, Amira berkata, sepatutnya single baharu dirancang bersama syarikat Rocketfuel Entertainment.

"Insya-Allah, usaha ke arah itu akan dimulakan sebaik saya pulang ke Kuala Lumpur. Saya mahu single itu dilancarkan tahun ini," katanya.

Berita Harian X