Jumaat, 22 Mei 2020 | 11:00am
Sherry Alhadad menyinsing lengan menyediakan juadah berbuka puasa ketika kali pertama mengendalikan program masakan, Aroma Tradisi. - Foto TV3
Sherry Alhadad menyinsing lengan menyediakan juadah berbuka puasa ketika kali pertama mengendalikan program masakan, Aroma Tradisi. - Foto TV3

Tak pandai masak Sherry belajar dengan orang kampung

KUALA LUMPUR: Menyediakan bahan masakan dan juadah berbuka puasa bersama penduduk kampung menerusi program masakan, Aroma Tradisi memberikan pengalaman baharu buat pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad.

Katanya, dia seronok menyinsing lengan menyediakan juadah berbuka puasa popular di kalangan orang kampung, apatah lagi dirinya kurang handal memasak.

Sherry berkata, dia tidak pernah mengendalikan program masakan selama ini. Menerusi program Aroma Tradisi yang dikendalikan bergilir dengan Issey Fazlisham disiarkan setiap Sabtu, jam 11.30 pagi di TV3.

"Ini pengalaman baharu untuk saya. Saya dan penduduk kampung menyediakan bahan masakan dan juadah berbuka puasa yang popular di kalangan orang kampung.

"Seronok bekerjasama dengan penduduk kampung daripada proses mencari bahan hingga juadah siap dimasak. Memang seronok dan gamat keadaan dibuatnya.

"Saya akui tidak pandai memasak. Jadi, saya kekok apabila dikehendaki bersama penduduk kampung mencari bahan masakan dan menyediakan juadah. Alhamdulillah, ia satu pengalaman yang berharga, selain dapat menimba ilmu dan resipi masakan," katanya kepada BH Online.

Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad berkata, suasana jadi kecoh apabila kebanyakan penduduk kampung ramah dan mudah mesra. Ia tidak menyukarkannya untuk menyesuaikan diri.

"Saya hanya menjadi diri sendiri ketika mengendalikan program Aroma Tradisi ini. Biarpun kali pertama berjumpa dan bekerjasama dengan orang kampung, tetapi kami cepat mesra dan selesa," katanya.

Pelakon filem Rembat dan My Stupid Boss itu berkata, dia juga menggunakan kesempatan terluang untuk bertanya khabar rakan menerusi aplikasi video.

"Saya terlalu sibuk dengan tugasan hingga jarang berkesempatan bertanyakan khabar teman baik, selama ini. Justeru, saya menggunakan masa terluang dengan mengeratkan hubungan silaturahim, meskipun hanya menerusi panggilan video," katanya.

Mengulas projek kerjaya tertangguh berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Sherry berkata, dia sempat menyiapkan penggambaran telefilem Aku Benci Kpop, sebelum PKP dikuat kuasa.

"Saya sepatutnya menyiapkan penggambaran beberapa program, tetapi semuanya dibatalkan.

"Banyak sebenarnya penggambaran yang harus dilakukan pada pada Ramadan. Saya tidak pasti program yang akan dijayakan diteruskan atau sebaliknya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bagaimanapun, tidak mengapalah, insya-Allah akan datang projek lain," katanya dengan reda.

Berita Harian X