Rabu, 6 Mei 2020 | 3:35pm
Entri dikongsi Adele mendapat lebih 1.2 juta tanda suka daripada pengikut sejak dimuat naik, dua jam lalu. - Foto IG Adele
Entri dikongsi Adele mendapat lebih 1.2 juta tanda suka daripada pengikut sejak dimuat naik, dua jam lalu. - Foto IG Adele

Adele dah kurus...

KUALA LUMPUR: Penyanyi British, Adele membuat kejutan apabila tampil dengan tubuh langsing melalui foto yang dimuat naik di Instagram (IG), sejak kira-kira dua jam lalu.

Foto memaparkan dirinya mengenakan baju blaus potongan sendat rona hitam dikongsi Adele sempena sambutan kelahirannya yang ke-32, semalam.

Mengikut keterangan mengiringi foto itu, penyanyi Hello ini merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas ingatan dan ucapan diberi.

Adele juga menyatakan penghargaan kepada mereka yang sanggup menggadai nyawa dengan bertugas ketika seluruh dunia berdepan wabak COVID-19.

"Terima kasih atas ingatan diberi. Saya harap anda semua berada dalam keadaan selamat pada waktu yang cukup getir ini.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan pekerja bahagian perkhidmatan penting yang sanggup menggadai nyawa demi memastikan kita semua selamat... Anda semua adalah Malaikat sebenar," luahnya.

Ini adalah entri pertama Adele atau nama sebenar, Adele Laurie Blue Adkins untuk 2020.

Kali terakhir Adele berkongsi entri adalah pada Disember ketika menghadiri parti sambutan Krismas.

Perubahan ketara pada tubuh penyanyi vokal mantap itu hangat diperkatakan selepas berita perpisahan dengan suami, Simon Konecki, mendapat liputan meluas, April tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, Adele dan Konecki dikurniakan cahaya mata bernama Angelo yang berusia tujuh tahun.

Menurut laporan majalah People, penyanyi dan komposer terbabit berusaha menurunkan berat badan bagi menjalani kehidupan sihat demi anak lelakinya itu.

Berita Harian X