Isnin, 4 Mei 2020 | 6:50pm
Wani Syaz bersyukur perniagaan membantu menjana pendapatan ketika kerjaya nyanyian terhenti. - Foto Instagram Wani Syaz
Wani Syaz bersyukur perniagaan membantu menjana pendapatan ketika kerjaya nyanyian terhenti. - Foto Instagram Wani Syaz

Aksi Wani Syaz tebar murtabak

KUALA LUMPUR: Aksi bersahaja penyanyi kecil molek, Wani Syaz, 23, menebar murtabak yang dikongsikan di entri Instagram (IG) mencuri tumpuan bukan sahaja di kalangan peminat, malah teman artis.

Sejak video berkenaan dimuat naik penyanyi lagu Pendusta Cinta itu, semalam, ia sudah ditonton lebih 180,000 pelayar. Kebanyakan peminat dan artis mengagumi kehebatan gadis berasal dari Batu Pahat, Johor itu menebar murtabak.

Wani atau nama sebenarnya, Nur Syazwani Selamat berkata, dia mula kembali operasi menjual makanan sejak Ramadan pertama selepas berehat lebih sebulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lazimnya, kata Wani, dia bersama keluarga berniaga Ayam Penyet dan Chicken Chop di bazar Ramadan, tetapi terpaksa memilih kaedah penghantaran makanan, tahun ini.

"Saya mula berniaga pada hari pertama puasa memandangkan sekian lama berehat. Saya memikirkan nasib pekerja jika tidak berniaga.

"Sebelum PKP, saya berniaga kedai makan. Oleh kerana, tiada bazar Ramadan tahun ini, jadi saya terpaksa mencuba sistem perniagaan baharu dengan menawarkan servis penghantaran.

"Kami masih dalam proses menyesuaikan diri. Sebelum ini, tak pernah menawarkan khidmat penghantaran, mungkin ini permulaan baharu," katanya kepada BH Online.

Katanya, biarpun perniagaan dijalankan tidak besar, namun penyanyi di bawah label FMC Music itu bersyukur mempunyai perniagaan yang boleh membantu menjana pendapatan pada ketika kerjaya nyanyian terhenti.

"Saya sudah biasa tiada tawaran menyanyi selama dua tiga bulan, jadi tempoh PKP tidaklah begitu memberikan kesan saya. Lagi pula, saya sibuk menguruskan perniagaan kedai makan jika tiada undangan persembahan.

"Sepanjang PKP ini, saya banyak memerah idea menghasilkan kandungan untuk laman sosial.

"Alhamdulillah, boleh menjana pendapatan. Selain itu, saya juga memenuhi undangan program televisyen dan radio dengan melakukan rakaman di rumah. Ia sesuatu yang baharu, mencabar dan pengalaman menyeronokkan," katanya.

Wani berkata, sudah menjadi adat ada pasang surut dalam dunia perniagaan.

"Ada ketika jualan kurang dan ada pula tidak menang tangan menyiap dan menghantar tempahan pelanggan.

"Saya mempunyai dua pembantu yang membantu membuat persediaan.

"Abang dan ahli keluarga lain turut membantu. Saya tidak suka lepas tangan tanggungjawab kepada pekerja. Saya tak kisah ke pergi pasar, masak atau membuat penghantaran makanan," katanya yang belajar menebar roti sejak tiga bulan lalu.

Mengulas perancangan single terbaharu, Wani berkata, dia merancang merakamkan lagu bulan ini, tetapi hasratnya terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan tidak sesuai.

"Saya mengimpikan dapat bekerjasama dengan Hael Husaini kerana menggemari sentuhan komposer muda yang disifatkan berbakat. Saya pilih Hael kerana ingin karya segar untuk didendangkan.

"Sudah lama saya mahu bekerjasama dengan Hael. Ia memang menjadi salah satu impian dalam mencari kelainan dan kelompok muzik baharu. Namun, ia terpaksa dilupakan buat masa ini, selagi tempoh PKP belum tamat," katanya.

Berita Harian X