Selasa, 21 April 2020 | 1:54pm
Allahyarham Farit suka berkongsi kata-kata hikmat setiap kali mengakhiri tugasan ketika menyampaikan berita di TV1. Foto IG Berita RTM
Allahyarham Farit suka berkongsi kata-kata hikmat setiap kali mengakhiri tugasan ketika menyampaikan berita di TV1. Foto IG Berita RTM

'Tak lokek ilmu, mudah mesra'

KUALA LUMPUR: Pemergian penyampai berita terkenal Radio Televisyen Malaysia (RTM), Allahyarham Farit Ismeth Emir akibat kanser pada usia 65 tahun, terus diratapi teman seperjuangan.

Paling terkesan adalah bekas pembaca berita, Datuk Harjit Singh Hullon yang menyifatkan pemergian Farit kehilangan besar buat industri penyiaran tanah air.

“Pemergiannya suatu kehilangan besar buat saya. Farid bukan sahaja rakan sekerja, malah sahabat saya. Hubungan kami berlanjutan hingga di luar waktu pejabat. Kami banyak berkongsi cerita dan masalah.

“Keluarga kami saling mengenali antara satu sama lain. Arwah datang pada majlis kahwin anak saya. Dia ada mengusahakan perniagaan katering dan saya sering menggunakan khidmatnya.

“Kali terakhir saya menghubungi Farit pada Februari lalu untuk bertanya khabar. Berita pemergiannya sangat mengejutkan dan cukup menyedihkan buat saya,” katanya kepada BH Online.

Semalam, dunia penyiaran dikejutkan dengan berita pemergian Farit akibat kanser.

Anak Farit, deejay dan komposer hip hop terkenal, DJ Fuzz mengesahkan arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya, pada jam 11 pagi, semalam.

Harjit yang bersara dari RTM pada 2011 mengaku Allahyarham rakan yang baik dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

“Penyampai berita baharu ramai yang takut dengannya. Beliau tampak garang tetapi hakikatnya, peramah dan mudah mesra. Arwah mudah berkongsi ilmu dan berdisiplin.

“Kehilangannya sukar dicari ganti. Saya akan merindui momen manis yang pernah kami lalui bersama,” katanya yang mengenali Farid sejak tiga dekad lalu.

Turut meluahkan rasa sedih adalah Rozimah Mahyuddin yang pernah menjadi anak didik Allahyarham.

“Ketika saya bertugas sebagai pembaca berita di RTM, Allahyarham banyak mengajar bagaimana menjadi penyampai yang baik.

“Beliau banyak memberikan tip antaranya menggalakkan kami memperluaskan ilmu pengetahuan dengan banyak membaca agar faham apa yang disampaikan.

“Arwah juga berpesan usah sombong dan mengingatkan bergelar pembaca berita bukanlah lesen untuk kita rasa hebat.

“Amalan dan sifat peribadinya itu membuatkan beliau layak digelar ikon RTM dan dikenali hingga hari ini. Kami semua pasti merinduinya,” katanya.

Bagi bekas penerbit dan penyampai berita, Remy Abdul Rahman, Allahyarham adalah petugas yang cukup komited.

“Kami pernah bekerjasama di mana dia menjadi penyampai Dunia Jam 10. Saya pula bertindak sebagai penerbit. Arwah sangat profesional dan berdisiplin.

“Mengenali arwah, dia bukanlah suka berkongsi masalah. Kami terkejut apabila mendapat tahu beliau sakit dua minggu lalu.

“Agak ralat kami tidak dapat menziarahinya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Tambahnya, arwah sangat pemurah apabila sering menyediakan juadah berbuka puasa kepada kru produksi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, PJS 4, Petaling Jaya, selepas Zohor.

Berita Harian X