Rabu, 1 April 2020 | 8:44pm
Man Raja Lawak menerima lebih 3,000 mesej yang bertanya mengenai bantuan yang dihulurkan, semalam. - Foto Instagram Man Raja Lawak
Man Raja Lawak menerima lebih 3,000 mesej yang bertanya mengenai bantuan yang dihulurkan, semalam. - Foto Instagram Man Raja Lawak

Man hulur bantuan, peminat minta RM20,000

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Man Raja Lawak, 42, berkongsi wang kemenangan ketika menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2019 berjumlah RM50,000 kepada mereka yang berdepan dengan kesempitan hidup.

Man atau nama sebenarnya, Abd Rahman Kasim mengumumkan menghulurkan sumbangan menerusi laman Instagram (IG), semalam selepas terpanggil membantu rakyat Malaysia terputus rezeki akibat penularan virus COVID-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak dua minggu lalu.

“Saya tidak henti menerima mesej langsung pengikut IG, sejak semalam. Lebih 3,000 mesej yang diterima bertanya apakah mereka layak mendapat bantuan yang dihulurkan.

“Saya ada berkongsi maklumat lanjut. Syaratnya, tidak membuat tetapan ‘private’ dalam akaun IG supaya saya dapat mengintai serba sedikit latar belakang kehidupan mereka.

“Saya kena meneliti dan pastikan hanya mereka yang layak sahaja dapat bantuan. Kerjasama mereka saya harapkan. Jika layak, saya akan memindahkan duit ke akaun. Insya-Allah, cepat atau lambat pasti dapat,” katanya kepada BH Online.

Juara program realiti, Raja Lawak musim kelima itu berkata, jumlah wang yang dipindahkan pula tidak semestinya mengikut permintaan mereka.

“Saya akan menghulurkan wang dengan kemampuan saya. Tak semestinya jumlah diminta akan ditunaikan.

“Jika tiada maklum balas daripada saya anggaplah peruntukan RM50,000 sudah lebur digunakan,” katanya.

Man berkata, dia berhati-hati dengan taktik penipuan yang mungkin wujud untuk mengambil kesempatan.

“Saya bimbang tersalah salur kepada mereka yang tidak layak. Hal ini boleh terjadi kerana saya tahu hati manusia boleh bertukar kerana duit.

“Sejak umum bantuan ini, mesej dan panggilan di Facebook juga bertebaran. Ada yang marah saya tidak membalas mesej mereka. Macam mana nak balas, saya tak terlayan kerana terlalu ramai minta bantuan.

“Itu belum termasuk mereka yang menghubungi dan membuat panggilan video,” katanya.

Man berkata, ada yang meminta bantuan berjumlah RM20,000.

“Saya geleng kepala dibuatnya. Bukannya apa, saya harap wang berjumlah RM50,000 yang diperuntukkan boleh memberi manfaat kepada ramai yang memerlukan. Saya nak bantu mereka yang betul-betul kesempitan hidup, tiada duit nak makan,” katanya.

Berita Harian X