Isnin, 30 March 2020 | 10:19pm
Hafiz mengaku sudah tidak berhubung dengan bekas tunang, Azar, seminggu sebelum ikatan terlerai, Februari lalu. Foto/NSTP Hafiz Sohaimi
Hafiz mengaku sudah tidak berhubung dengan bekas tunang, Azar, seminggu sebelum ikatan terlerai, Februari lalu. Foto/NSTP Hafiz Sohaimi

Putus tunang dengan Azar, Hafiz 'tawar hati'

KUALA LUMPUR: ‘Iya, kami sudah putus tunang.’

Itu penjelasan penerbit Tune Production, Hafiz Rozlan apabila kecoh pertunangannya dengan pelakon, Azar Azmi putus sejak 10 Februari lalu.

Bagaimanapun, Hafiz enggan berkongsi punca keretakan hubungan mereka.

“Sudah hampir dua bulan kami putus. Tidak seronok jika saya bercerita soal punca, anggap sahajalah kami tiada jodoh.

“Keluarga kami sudah tahu. Saya sudah berhubung dengan abang Azar untuk menerangkan perkara ini.

“Keluarga saya juga faham ini perkara peribadi saya, jadi mereka tidak masuk campur,” katanya kepada BH Online.

Bertanya bagaimana hubungan dengan Azar sekarang, penerbit filem Hasmah - Bila Deh Bertemu Det mengaku mereka tidak lagi berkomunikasi seminggu sebelum ikatan pertunangan putus.

“Kami tidak bercakap sejak seminggu sebelum kami putus tunang.

“Sebenarnya, saya tidak berbincang betul-betul dengan Azar. Ada yang berlaku membuatkan saya ‘turn off’ (tawar hati).

“Disebabkan itu, saya buat keputusan bercakap dengan abang Azar dan kami berbincang soal ini. Alhamdulillah, abang Azar okay dengan keputusan saya,” katanya.

Hafiz tidak menafikan sedih atas apa yang berlaku. Namun, dia percaya semua yang terjadi ada hikmah di sebaliknya.

“Semestinya saya sedih, takkan saya gembira pula. Tapi kedua-dua belah pihak perlu teruskan hidup. Apa yang terjadi, saya percaya ada hikmahnya,” kata bapa tunggal dua anak ini.

Sebelum ini, status pertunangan mereka menjadi tanda tanya apabila masing-masing tidak berkongsi foto bersama di laman sosial.

Hafiz dan Azar bertunang pada majlis tertutup pada 1 Disember lalu. Pasangan itu merancang bertunang selama setahun.

Usaha BH Online mendapatkan reaksi Azar gagal kerana pelakon itu tidak menjawab panggilan.

Berita Harian X