Isnin, 30 March 2020 | 4:25pm
Adam menggunakan peluang menyertai misi mengagihkan bantuan makanan APM Putrajaya kepada petugas barisan hadapan sepanjang PKP. Foto Ihsan Adam Shahz
Adam menggunakan peluang menyertai misi mengagihkan bantuan makanan APM Putrajaya kepada petugas barisan hadapan sepanjang PKP. Foto Ihsan Adam Shahz

COVID-19 : Bukan cari glamor - Adam Shahz

KUALA LUMPUR: Pelakon Adam Shahz tersentuh melihat komitmen petugas barisan hadapan di klinik dan hospital kerajaan yang dikunjungi sepanjang misi mengagihkan bantuan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Adam, 39, yang berkhidmat secara sukarela bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Putrajaya, tidak lupa riak wajah petugas yang bekerja tanpa mengenal erti lelah.

“Melihat wajah mereka yang keletihan, hati jadi sayu dan tersentuh. Apatah lagi memikirkan mereka bersengkang mata dan bertungkus-lumus membantu kita,” katanya kepada BH Online.

Adam berkata, hati lebih sayu melihat kumpulan pelajar tahfiz dari kluster perhimpunan tabligh ketika dia membuat pengagihan bantuan di sebuah premis penempatan.

“Kali pertama melihat wajah pelajar ini, saya tersentuh kerana membayangkan bukan senang berada di tempat mereka.

“Dalam insiden lain, baru-baru ini, kami terserempak pasangan bersama bayi mereka di Lebuhraya Persekutuan. Ketika itu, kereta mereka rosak, jadi kami membantu menolak kenderaan itu ke tepi.

“Apabila kami bertanya, rupa-rupanya wanita di dalam kereta itu baru melahirkan bayi berkenaan. Masing-masing ada cabaran hidup ketika ini.

“Jadi, marilah kita membantu sesama sendiri,” katanya.

Adam yang berkhidmat sebagai anggota APM sejak 2017, giat menyertai misi mengagihkan bantuan kepada petugas barisan hadapan sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Adam mengaku teruja menyertai misi berkenaan.

“Apabila APM bertanya sesiapa antara pegawai yang mahu menghulurkan bantuan dalam tempoh penularan COVID-19, saya rasa terpanggil.

“Saya tahu ada orang kata saya sertai misi ini kerana diberi elaun. Sejujurnya, semua pegawai yang menyertai misi ini tidak diberi elaun, token dan bayaran.

“Malah, kami sendiri menyumbang kelengkapan seperti cecair pembasmi kuman, topeng dan sarung tangan,” katanya.

Adam berkata, apa yang dilakukan bukan bertujuan meraih populariti atau minta dipuji.

“Pada awalnya, tidak ramai yang tahu saya menyertai misi ini. Saya muat naik gambar di laman sosial di mana pengikut tidak ramai.

“Tapi ada pengikut Instagram menghebahkannya di Twitter. Jadi, daripada situ, orang ramai mula tahu.

“Saya tidak minta pujian. Sekarang bukan masa untuk kita meminta semua itu. Apa yang saya mahu hanyalah doa agar kami anggota APM diberi kesihatan yang baik untuk terus berkhidmat,” katanya.

Berita Harian X