Rabu, 25 March 2020 | 5:43pm
Elly mengesahkan dirinya sudah bercerai talak satu dengan bekas suami, Jiggy sejak 30 Januari lalu. Foto Ihsan Elly Arifin
Elly mengesahkan dirinya sudah bercerai talak satu dengan bekas suami, Jiggy sejak 30 Januari lalu. Foto Ihsan Elly Arifin

Siapa yang kahwin mahu cerai? - Elly Arifin

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan mencetuskan spekulasi mengenai rumah tangga, pengacara dan pelakon, Elly Arifin mengaku perkahwinan dengan pelawak, Jiggy dari kumpulan Masin, sudah berakhir.

Elly, 31, atau nama sebenar, Nurul Elyana Kamalul Arifin memberitahu, dia dan bekas suami, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor, pada 30 Januari lalu.

“Puncanya, biarlah kami saja yang tahu. Tapi apa yang boleh saya katakan selepas tiga tahun berkahwin, kami gagal mencari persefahaman yang baik.

“Kami mula tinggal berasingan sejak November lalu. Apa alasannya, biarlah ia menjadi rahsia peribadi kami,” katanya kepada BH Online.

Dengan pengakuan itu, Elly berharap tidak pihak yang tertanya-tanya apatah lagi selepas dia memadam foto bekas suami itu di Instagram.

“Harap pengakuan saya dapat mengelak fitnah berikutan tempoh edah sudah tamat. Sebelum ini, saya mendiamkan diri bukan niat untuk berahsia, tapi saya mahu menghormati keluarga.

“Sekarang, saya bersedia berkongsi kerana merasakan diri sudah cukup kuat untuk bercerita,” katanya.

Pengacara program HLive dan Unplugged itu mengaku perceraian bukanlah mudah.

“Tidak dinafikan perpisahan ini memberi kesan pada saya, apatah lagi ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana orang duduk di rumah bersama suami dan keluarga, tapi saya tidak.

“Apatah lagi sudah tujuh tahun saya biasa bersamanya. Sekarang apabila sudah tidak bersama, memang berbeza apabila dia tiada di hadapan mata. Iyalah, siapa yang berkahwin untuk bercerai?

“Bagaimanapun, saya percaya semua yang terjadi ada sebabnya. Saya tak mahu fikir ujian ini sebagai bebanan, sebaliknya hikmah dari Allah,” katanya.

Pasangan ini berkahwin pada 9 September 2016 selepas empat tahun bercinta. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata, namun Elly pernah mengalami keguguran pada September lalu.

Sebelum ini, Elly mengaku hubungan bersama Jiggy yang juga peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 dan 2018, masih baik.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X