Isnin, 23 March 2020 | 6:07pm
Buletin Utama mencatatkan peningkatan mendadak berikutan menyampaikan berita, maklumat sahih dan terkini. - Foto Instagram Hawarizwana
Buletin Utama mencatatkan peningkatan mendadak berikutan menyampaikan berita, maklumat sahih dan terkini. - Foto Instagram Hawarizwana

Buletin Utama catat 3.44 juta penonton

Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) menerusi program berita berjaya mencatatkan peningkatan jumlah penonton tertinggi dengan Buletin Utama siaran TV3 mendahului senarai.

Program berita yang disiarkan jam 8 malam setiap hari itu mencatat peningkatan sebanyak 53% menjadikan jumlah penonton 3.44 juta pada 18 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen MPB, Johan Ishak, berkata peningkatan mendadak ini berikutan kejayaan stesen penyiaran TV3 menyampaikan berita, maklumat sahih dan terkini kepada penonton di rumah yang kini sedang menjalani arahan Perintah Kawalan Pergerakan, sejak minggu lalu.

Sempena arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan, MPB tidak lupa tanggungjawab sosial korporat dengan menyalurkan info terkini dan saranan kerajaan menerusi rangkaian televisyen seperti TV3, TV9, ntv7 dan 8TV dari semasa ke semasa.

“Sebagai bukti rakyat Malaysia akur tinggal di rumah, stesen TV di bawah naungan MPB berjaya mencatat peningkatan tontonan, Buletin Utama sahaja merekodkan peningkatan sebanyak 53%. Jumlah ini bersamaan sebanyak 3.44 juta penonton dengan 42.3% syer penonton berjaya direkodkan pada 18 Mac lalu.

“Slot berita pada waktu tengah hari, Buletin 1.30 juga meningkat kepada 1.4 juta penonton pada hari berkenaan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Turut mencatat rekod baharu dari segi penambahan jumlah penonton adalah program, 8TV Midday Mandarin dan ntv7 Mandarin 7.

“8TV Midday Mandarin mencatat rekod baharu dengan jumlah penonton paling tinggi iaitu 617,000 penonton dengan syer penonton sebanyak 60% pada hari yang sama.

“Manakala, ntv7 Mandarin 7 pula mencatat kadar tontonan tertinggi pada 564,000 penonton atau 49% syer penonton Cina pada waktu petang,” katanya.

Untuk 8TV Mandarin News, kadar tontonan bagi penonton Cina berusia 40 tahun ke atas meningkat sebanyak 45% dengan catatan 1.1 juta penonton dan 59.3% syer penonton.

“Sementara itu, jumlah tontonan digital dalam laman sosial Facebook dan YouTube antara 16 hingga 18 Mac mencatat jumlah penonton tertinggi iaitu 13.1 juta tontonan untuk Buletin Utama dan Buletin 1.30.

“Manakala, 8TV Mandarin News dan 8TV Midday Mandarin, jumlah tontonan yang diperoleh adalah 6.8 juta, manakala ntv7 Mandarin 7 mencatatkan jumlah 4.6 juta tontonan." katanya.

Berita Harian X