Selasa, 3 March 2020 | 7:26pm
Pelakon, Fikry Ibrahim sibuk menjalani penggambaran filem Rahsia arahan Shamyl Othman. NSTP/Mahzir Mat Isa
Pelakon, Fikry Ibrahim sibuk menjalani penggambaran filem Rahsia arahan Shamyl Othman. NSTP/Mahzir Mat Isa

Fikry sambung pengajian sarjana

KUALA LUMPUR: Biarpun kesibukan berganda, pelakon, Fikry Ibrahim, 26, tetap meneruskan hasrat menyambung pengajian dalam peringkat sarjana.

Pada Oktober lalu, Fikry, 26, menggenggam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Terkini, Fikry menyambung pengajian peringkat sarjana di universiti yang sama.

Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim dilihat memuat naik entri yang mempamerkan gambar kad pelajar di laman Instagramnya, baru-baru ini. Tindakannya mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat, tetapi anak kelahiran Jitra, Kedah itu tidak menafikannya.

“Hasrat menyambung pengajian pada peringkat sarjana didorong kesedaran kepentingan ilmu. Saya percaya proses pembelajaran tidak akan pernah terhenti sampai bila-bila.

“Walaupun tanggungjawab kian bertambah, saya akan cuba membahagikan masa sebaiknya. Cuma, apa yang berbeza kali ini, saya boleh menyusun jadual memandangkan saya memilih melakukan penyelidikan.

“Jadi, saya tidak perlu menghadiri kelas, hanya sesekali berjumpa penyelia. Sebab itu, saya tidak risau apabila membuat keputusan menyambung pengajian kerana tugasan boleh dilakukan di mana sahaja,” katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek dan Kau Yang Pertama itu berkata, dia tidak bercita-cita bergelar pensyarah apabila membuat keputusan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sebaliknya, mahu memanfaatkan ilmu dipelajari untuk berkongsi dengan masyarakat.

“Saya tidak pernah terfikir bergelar pensyarah. Cuma, mungkin saya berharap dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh dengan orang lain,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran filem Rahsia.

Fikry berkata, filem Rahsia adalah ‘remake’ daripada filem tahun 1987 yang dilakonkan oleh Noor Kumalasari dan Shukery Hashim. Ia diarahkan oleh Shamyl Othman yang juga anak kepada pengarah asal filem Rahsia, Othman Hafsham.

“Setakat ini, Alhamdulillah, penggambaran berjalan lancar. Cuma disebabkan penggambaran sering dilakukan pada waktu malam, jadi tidur saya tidak menentu.

“Saya bertuah bekerja dengan Nabila Huda kerana dia seorang pelakon yang komited dan menjadikan penggambaran lebih mudah,” katanya.

Selain Fikry dan Nabila, filem itu turut dibarisi Eman Manan, Marsha Milan Londoh dan Rashidi Ishak. Filem bergenre seram yang juga filem pertama lakonan Fikry dan dijangka menemui penonton pada Oktober tahun ini.

Berita Harian X