Isnin, 2 March 2020 | 6:26pm
Bade Azmi kian pulih, tetapi bengkak pada kaki belum surut. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Bade Azmi kian pulih, tetapi bengkak pada kaki belum surut. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Bade terhincut-hincut, kaki masih bengkak

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, saya beransur pulih. Bagaimanapun, saya masih berjalan terhincut-hincut berikutan kaki bengkak. Bengkak sebelah kanan semakin surut, tetapi sebelah kiri masih sakit,” kata pengarah, Bade Azmi.

Pengarah filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu mengulas perkembangan kesihatannya yang mengalami retak ibu jari kaki kiri selepas kereta jenis pacuan empat roda yang dinaiki bersama empat kru terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Karak, jam 3.30 pagi pada 24 Februari lalu.

Katanya, dia kini sedang berehat di rumah untuk meredakan bengkak pada kedua-dua kakinya.

“Kedua-dua kaki tersangkut pada ‘dashboard’ dan bengkak akibat terhimpit. Ketika itu, saya tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Sekarang, saya pakai tongkat, tetapi disebabkan tidak pandai menggunakannya, saya berjalan menggunakan dua tongkat untuk mengimbangi badan,” katanya kepada BH Online.

Bade berkata, jari pada kaki sebelah kiri masih sakit, tetapi dia sudah membuka balutan.

“Nampak masih bengkak apabila saya membuka balutan. Ia bukanlah bukan bengkak air sebaliknya darah. Itu menyebabkan saya terasa sakit apabila memijak lantai.

“Saya berharap akan sembuh segera,” katanya yang berdepan detik kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kuala Terengganu, selepas selesai penggambaran telefilem Sebelum Pulang terbitan RTM.

Selain itu, sutradara filem KL Menjerit itu berkata, dia turut sakit dada berikutan hentakan kuat. Bukan dirinya sahaja, malah semua penumpang merasakan sakit yang sama.

“Dada masih sakit. Kami sedang tidur ketika kemalangan berlaku. Disebabkan, kejutan juga membuatkan kami sakit dada. Diharapkan ia tidak berlanjutan kerana saya akan kembali bekerja, tidak lama lagi,” katanya melakukan pemeriksaan X-Ray pada 9 Mac ini.

Ekoran kemalangan, Bade berkata, dia terpaksa menarik diri daripada menjalankan promosi untuk filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.  

“Sebenarnya, saya pulang ke Kuala Lumpur pada pagi itu kerana mahu melakukan promosi filem di sebuah stesen televisyen swasta, tetapi disebabkan kemalangan, saya tidak dapat hadir.

“Saya hanya saya berkesempatan menghadiri tayangan perdana sahaja.

“Sejak itu, saya tidak menjalankan apa-apa promosi. Saya juga belum mengetahui maklum balas selepas ia menjengah pawagam sejak lima hari lalu. Selalunya, kami akan mendapat tahu pulangan selepas seminggu tayangan,” katanya yang akan kembali ke lokasi penggambaran dengan mengarahkan drama Cinta Yang Pulang terbitan Suhan Movies pada 20 Mac ini.

Berita Harian X