Ahad, 1 March 2020 | 8:30am
Innuendo bakal mengubat rindu peminat pada persembahan di Istana Budaya, April depan. Foto Ihsan Shiraz Projects Sdn Bhd
Innuendo bakal mengubat rindu peminat pada persembahan di Istana Budaya, April depan. Foto Ihsan Shiraz Projects Sdn Bhd

Innuendo ubat rindu peminat

KUALA LUMPUR: Lagu Belaian Jiwa yang pernah dipopularkan kumpulan Carefree pada 1979, meninggalkan impak besar terhadap karier muzik empat jejaka yang menggelarkan diri mereka Innuendo.

Meledak di corong radio pada 1997, lagu dendangan empat sahabat ini, iaitu Shamsul Azhar Nazeer atau lebih dikenali sebagai Sam; Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj); Saiful Amir Abdul Wahab (Pot) dan Reymee Hussein, meletakkan mereka dalam kelompok penyanyi yang masih diingati hingga hari ini.

Pada zaman kegemilangan mereka, Innuendo pernah digelar ‘Boyz II Men Malaysia’ dengan kemampuan vokal masing-masing yang memukau.

Muzik R&B yang dibawa Innuendo sebagai identiti, meletakkan tanda aras tinggi dalam penghasilan produk seumpamanya. Jika tidak, masakan Anugerah Industri Muzik (AIM) kelima mengiktiraf Innuendo dengan enam trofi.

Kumpulan ini menang kategori Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik; Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik; Rakaman Album Terbaik; Album Inggeris Tempatan Terbaik; Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Belaian Jiwa) dan Lagu Terbaik (Selamanya) menerusi album sulung mereka.

Mengubat rindu peminat, Innuendo bakal ‘menghangatkan’ Panggung Sari, Istana Budaya (IB) dengan konsert ‘comeback’ iaitu Innuendo - The Return pada 10 April depan, mulai jam 8.30 malam.

Namun, pada konsert ini, hanya Sam, Pot dan Taj akan beraksi.

Konsert dibawa Shiraz Projects Sdn Bhd pasti mengimbau kenangan melalui seleksi lagu seperti Selamanya, Gemawan, Ratu Hati, Belaian Jiwa dan banyak lagi.

Diiringi pemuzik hebat, apatah lagi dengan kemunculan pengarah muzik tersohor, Michael Veerapan, konsert ini pasti meninggalkan kesan kepada peminat tegar kumpulan ini yang sudah lama menantikan kemunculan Innuendo di pentas gah seperti IB.

Peminat boleh mendapatkan tiket pada harga serendah RM125 hingga RM695 di www.myticket.asia.

Berita Harian X