Khamis, 20 Februari 2020 | 2:25pm
Zizan mengucapkan tahniah kepada Emma dan berharap perkahwinannya direstui keluarga. Foto NSTP/Aswadi Alias
Zizan mengucapkan tahniah kepada Emma dan berharap perkahwinannya direstui keluarga. Foto NSTP/Aswadi Alias

Zizan doakan Emma bahagia ke akhir hayat

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Zizan Razak mengucapkan tahniah kepada Emma Maembong yang bernikah dengan pasangannya, Muhammad Shazli Azhar, di ibu negara, pagi tadi.

Sambil mengakui menerima undangan daripada bekas kekasihnya itu, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 35, mendoakan mereka kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

“Saya berbesar hati mengucapkan tahniah untuk Emma... Dia ada menjemput saya.

“Saya tak ada masalah untuk memenuhi undangan itu. Cuma, saya tak dapat nak beri kata putus kerana perlu melihat jadual kerja terlebih dahulu.

“Saya tak mengenali lelaki pilihannya itu. Namun, saya katakan padanya, biarlah jodohnya itu direstui kedua-dua keluarga,” katanya kepada BH Online.

Pada jam 11.58 pagi tadi, dengan sekali lafaz, Emma, 27, sah bergelar isteri kepada juruterbang, Muhammad Shazli, 32, pada majlis tertutup di sebuah premis acara di Bukit Damansara, di sini.

Mengulas lanjut pesanan ringkas yang diberi kepada pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu, Zizan menjelaskan, ungkapan itu tidak bermaksud apa-apa, selain nasihat berguna yang boleh menjadi panduan semua orang.

“Sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik untuk mereka.

“Biarlah perkahwinan itu direstui dua-dua keluarga agar mahligai dibina menemui kebahagiaan. Jika berlaku apa-apa perkara di kemudian hari, tidak ada pihak saling menuding jari.

“Saya bercakap perkara ini kerana pernah berlaku pada saudara-mara saya. Baru sebulan mendirikan rumah tangga, sudah bercerai. Apabila diselidik, rupa-rupanya perkahwinan mereka tidak direstui keluarga... Itulah yang saya maksudkan,” katanya ditemui pada majlis pelancaran filem Bulan & Pria Terhebat di sini, hari ini.

Zizan dan Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, pernah menjalin hubungan istimewa pada 2014. Namun, mereka berpisah setahun kemudian.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X